Skip to main content

Dunia

Konsulat M'sia diarah siasat kumpulan percaya Imam Mahdi muncul di Makkah

Anggaran Waktu Membaca:
Konsulat M'sia diarah siasat kumpulan percaya Imam Mahdi muncul di Makkah

Naib Presiden PAS Idris Ahmad (Gambar: BERNAMA)

BAGAN SERAI: Pihak berkuasa diarahkan supaya menyiasat status dan keberadaan kumpulan dianggotai rakyat Malaysia yang berkumpul di Tanah Suci kerana mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata pihak Konsulat Malaysia di Jeddah sudahpun diarahkan supaya memulakan siasatan terhadap kumpulan itu termasuk pemimpinnya Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dipercayai masih berada di sana.

“Kita harap selepas ditangkap, mereka akan dikenakan tindakan dan seterusnya dihantar pulang kerana ini semua mengarut,” katanya selepas menghadiri Muktamar Dewan Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri pada Ahad (7 Ogos).

Menurutnya lagi, orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dan melakukan semakan dahulu sebelum menyertai apa-apa Tarekat (pengamalan).

“Kalau mahu menyertai Tarekat, saya harap orang awam selidik dahulu guru tersebut. Jika ingin mengaji, syaratnya perlu mencari guru yang ‘Mursyid’, iaitu mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya,” tambahnya.

Dilaporkan juga, beberapa kepercayaan yang terpesong termasuk mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas, antara pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu, Negeri Sembilan yang sudah ditutup selama enam bulan.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad dilaporkan sebagai berkata bahawa berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya sudah berangkat ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi pada Hari Arafah dan kini Awal Muharram.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita