Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Konstabel Polis M'sia didakwa bunuh rakan kerja

Seorang konstabel polis didakwa di Mahkamah Majistret hari ini (19 Mei) kerana membunuh rakan sekerjanya awal bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Konstabel Polis M'sia didakwa bunuh rakan kerja

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 19 May 2021 03:24PM Dikemas Kini : 19 May 2021 03:25PM

SIBU: Seorang konstabel polis didakwa di Mahkamah Majistret hari ini (19 Mei) kerana membunuh rakan sekerjanya awal bulan ini.

Konstabel Muhamad Nur Alif Mazlan, 28 tahun, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu terhadap Konstabel Norhalim Tumiran, 24, di sebuah rumah bernombor 8A, Lorong Permai Timur 9 antara pukul 5.45 pagi dan 6.30 petang pada 6 Mei.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli, yang menetapkan kes itu untuk disebut semula pada 6 Julai.

Dua lagi konstabel berusia 21 dan 23 tahun, yang juga ditangkap dan disiasat di bawah kanun yang sama, dibebaskan oleh mahkamah dan akan menjadi saksi pendakwaan untuk kes tersebut.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah dan Rex Yi Min, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Awal dari itu, tertuduh dan rakan-rakan sekerjanya itu yang memakai pakaian lokap berwarna oren dibawa masuk ke mahkamah oleh sekumpulan anggota polis termasuk Timbalan Ketua Polis Sibu Supt Collin Babat.

Pada kejadian 6 Mei, Norhalim ditemui terduduk di sofa di rumah itu dengan kecederaan ditembak di kepalanya.

Mangsa yang mempunyai isteri dan seorang anak, baru berpindah ke rumah transit di Ibu Pejabat Polis Sibu, selepas menamatkan latihan asas sebagai seorang anggota polis.

Beliau dikatakan telah ke rumah berkenaan yang disewa oleh tertuduh dan dua lagi konstabel polis tersebut untuk bermain permainan komputer sementara menunggu waktu berbuka puasa, sebelum kejadian itu berlaku.

Ketiga-tiga konstabel itu, kesemuanya berasal dari Semenanjung Malaysia kemudiannya ditangkap dan direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke kampungnya di Felda Bukit Damar, Lanchang di Temerloh, Pahang untuk dikebumikan.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan