Skip to main content

Dunia

Konsert Taylor Swift dijangka kembangkan GDP SG; ahli ekonomi tingkatkan unjuran pertumbuhan: Laporan

Anggaran Waktu Membaca:
Konsert Taylor Swift dijangka kembangkan GDP SG; ahli ekonomi tingkatkan unjuran pertumbuhan: Laporan

Gambar: Gaya Chandramohan/CNA

Diterbitkan : 11 Mar 2024 03:12PM Dikemas Kini : 11 Mar 2024 03:36PM
SINGAPURA: Para ahli ekonomi telah meningkatkan unjuran pertumbuhan Singapura bagi suku pertama, menurut satu tinjauan Bloomberg.

Sesetengah mereka malah berpendapat bahawa keuntungan itu sebahagiannya disebabkan konsert enam hari bintang popular Taylor Swift di sini.

Hasil kasar dalam neger (GDP) diunjurkan meningkat 2.9 peratus dalam tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac, sekali gus merupakan rentak terpantas dalam enam suku, menurut anggaran median dalam tinjauan itu.

Ahli ekonomi juga meningkatkan jangkaan pertumbuhan tahunan itu kepada 2.5 peratus daripada unjuran awal sebanyak 2.3 peratus. Ini menghala ke bahagian atas julat unjuran pemerintah iaitu 1 hingga 3 peratus bagi tahun 2024.

Bagi suku akhir tahun lalu, angka rasmi menunjukkan GDP Singapura berkembang 2.2 peratus dari tahun ke tahun, lebih rendah daripada unjuran 2.8 peratus tetapi melonjak daripada pertumbuhan 1 peratus pada suku ketiga.

Pada 2023, ekonomi berkembang sebanyak 1.1 peratus, hanya sedikit di bawah ramalan pemerintah iaitu 1.2 peratus.

Singapura merupakan satu-satunya persinggahan di Asia Tenggara bagi konsert siri jelajah The Eras Tour selepas agensi pemerintah mencapai perjanjian eksklusif dengannya.

Lebih 300,000 tiket habis dijual bagi enam konsertnya di Stadium Negara sehingga 9 Mac, dengan kebanyakan daripada peminatnya sanggup datang dari luar negara ke sini.

Ahli ekonomi DBS Chua Han Teng berkata dalam laporan Bloomberg bahawa konsert itu dianggarkan menambah sekitar S$300 juta hingga S$400 juta, atau 0.2 mata peratusan daripada GDP, kepada ekonomi Singapura pada suku pertama.

Beliau menarik perhatian bahawa siri jelajah Swift membawa manfaat kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman negara, serta sektor peruncitan di negara ini.

"Ini akan disokong terutamanya oleh perbelanjaan pelancong asing yang lebih tinggi, dengan sebilangan besar peminat luar negara menghadiri konsert di Singapura," kata Encik Chua, seperti yang dipetik dalam laporan Bloomberg.

Kesan ekonomi daripada konsert Swift menjadi tumpuan sejak ia didedahkan bahawa Singapura menyediakan geran bagi bintang tersebut untuk membuat persembahan di sini, memandangkan ia mengenal pasti manfaat ekonomi daripada konsert tersebut.

Pemerintah tidak mendedahkan saiz geran yang diberikan tetapi Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata pada 1 Mac bahawa ia "tidak setinggi" seperti yang dilaporkan.

Mediacorp dimaklumkan bahawa jumlah tersebut lebih dekat dengan AS$2 juta (S$2.7 juta) hingga AS$3 juta (S$4 juta) bagi kesemua enam pertunjukan, dan bukannya jumlah itu bagi setiap malam konsert, seperti yang dipetik Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita