Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Konsep Rahmah idea Mahathir bukan Anwar, jelas Parti Gerakan Tanah Air

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Konsep 'Rahmah' yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan didakwa bukan daripada idea Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

Sebaliknya ia merupakan gagasan Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim berkata, konsep dan perkataan 'Rahmah' sudah dan sedang digambarkan sebagai idea Encik Anwar di bawah konsep Madani sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali, lapor Astro Awani.

"Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang menjolok mata, malah jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu."

"Rahmah bermula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebih tepat lagi, gagasan baru ini disebut oleh Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020," katanya dalam kenyataan pada Isnin (24 Apr).

Dr Mahathir ketika berucap dalam perasmian tersebut berkata, kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia.

"Ini berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri," kata beliau seperti dipetik laporan Astro Awani.

"Kita percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama, selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang telah dilancarkan Kerajaan," ujar bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

Mengulas lebih lanjut, Encik Mahdzir berkata, jelas sekali bahawa Rahmah sudah bermula sejak negarawan tersebut kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia dan merupakan sebuah gagasan baru yang diikat dengan satu pelan tindakan untuk menjadikannya satu dasar negara.

Dalam konteks itu katanya, gagasan Rahmah diikat dengan WKB 2030 juga diselarikan bersama Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 sebagai pemacu kepada agenda kerajaan yang lebih besar dan terancang, menurut laporan Astro Awani.

"Kesimpulannya, naratif Rahmah ini sebenarnya bukan cetusan idea kerajaan Madani apatah lagi Anwar seperti yang digembar-gemburkan."

"Maka, naratif ini perlu diperbetulkan kerana gagasan Rahmah tidak memerlukan ‘Menu Rahmah’, ‘Simen Rahmah’, ‘Tol Rahmah’ dan sebagainya."

"Pastinya selepas ini akan ada lagi perkara dan benda dirahmahkan," katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan