Skip to main content

Dunia

Kongres luluskan pelan Trump potong AS$9 bilion terhadap bantuan luar negara, penyiaran awam

Para anggota Republican pada awal Jumaat (18 Jul) meluluskan pelan Presiden Donald Trump untuk membatalkan pembiayaan dana sebanyak AS$9 bilion untuk bantuan asing dan penyiaran awam, sambil berikrar ini baru sahaja permulaan usaha yang lebih luas oleh Kongres untuk memotong belanjawan persekutuan.

Anggaran Waktu Membaca:
 Kongres luluskan pelan Trump potong AS$9 bilion terhadap bantuan luar negara, penyiaran awam

Bangunan Capitol di Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 28 Jun 2025. (Gambar: Getty Images melalui AFP/Al Drago)

Diterbitkan : 18 Jul 2025 07:36PM Dikemas Kini : 18 Jul 2025 07:37PM
WASHINGTON: Para anggota Republican pada awal Jumaat (18 Jul) meluluskan pelan Presiden Donald Trump untuk membatalkan pembiayaan dana sebanyak AS$9 bilion untuk bantuan asing dan penyiaran awam, sambil berikrar ini baru sahaja permulaan usaha yang lebih luas oleh Kongres untuk memotong belanjawan persekutuan.

Pemotongan itu hanya membentuk sebahagian kecil daripada penjimatan tahunan AS$1 trilion yang diikrarkan oleh hartawan teknologi dan penderma Encik Trump, Elon Musk yang sebelum ini berikrar akan menjimatkan perbelanjaan pemerintah dan ditugaskan untuk menerajui usaha memotong kos persekutuan.

Tetapi para anggota Republican - yang baru-baru meluluskan rang undang-undang yang dijangka akan menambah lebih AS$3 trilion kepada hutang Amerika - menegaskan bahawa undian itu menunaikan janji kempen pilihan raya Encik Trump untuk mengawal perbelanjaan pemerintah.

"Presiden Trump dan para anggota Republican menjanjikan tanggungjawab fiskal dan kecekapan pemerintah," kata Speaker Dewan Perwakilan Mike Johnson dalam satu kenyataan sejurus selepas pengundian tersebut dijalankan.

"Hari ini, kami sekali lagi menunaikan janji itu."

Kedua-dua dewan Kongres dikuasai oleh Republican, yang bermakna undian Dewan Perwakilan yang kebanyakannya terdiri daripada para anggota parti tersebut menyokong pelan berkenaan, beberapa saat selepas tengah malam, sudah memadai untuk meluluskan langkah yang diluluskan oleh Senat.

Rang undang-undang itu kini akan diserahkan kepada Rumah Putih untuk ditandatangani oleh Encik Trump, yang memuji para penyokongnya di Dewan berkenaan.

"PARA ANGGOTA REPUBLICAN TELAH CUBA MELAKUKAN INI SELAMA 40 TAHUN, DAN GAGAL... TETAPI TIDAK LAGI. INI PENCAPAIAN BESAR!!!" tulis Encik Trump di Truth Social.

Sebahagian besar pemotongan itu menyasarkan program untuk negara-negara yang dilanda penyakit, perang dan bencana alam. Langkah itu bagaimanapun juga menghapuskan AS$1.1 bilion yang sepatutnya diterima oleh Perbadanan Penyiaran Awam dalam tempoh dua tahun akan datang.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita