Kongres India M'sia bantah tindakan Trump; gesa dunia Islam henti guna AS$
Kongres India Malaysia (MIC) hari ini (8 Dis) mencadangkan agar dunia Islam berhenti daripada menggunakan dolar Amerika Syarikat.
Datuk Seri S. Vell Paari. (Gambar: Facebook)
KUALA LUMPUR: Kongres India Malaysia (MIC) hari ini (8 Dis) mencadangkan agar dunia Islam berhenti daripada menggunakan dolar Amerika Syarikat dalam urus niaga minyak sebagai tindak balas terhadap langkah negara itu mengisytiharkan Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel.
Bendahari Agung parti MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata urus niaga itu boleh dilakukan dalam mata wang lain yang diterima negara pengeluar minyak dan gas.
“Kuasa dan pengaruh yang dimiliki Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu meyakinkan negara pengeluar minyak untuk tidak lagi menggunakan dolar Amerika dalam perdagangan minyak.
“Ini akan memberi pengajaran kepada Amerika kerana keputusannya mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel akan mempunyai kesan buruk.
“Memandangkan dunia Islam dikurniakan dengan minyak, ia merupakan satu-satunya “senjata’ praktikal yang perlu digunakan terhadap Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.
Datuk Seri Vell Paari juga berkata tindakan Presiden Amerika, Donald Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara baru Israel akan menggagalkan usaha untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Beliau mengingatkan semua pihak bahawa sudah tiba masanya langkah konkrit diambil untuk melindungi rakyat Palestin dan memberi tekanan terhadap Amerika dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Presiden Trump mengumumkan pada Rabu lalu (6 Dis) bahawa Amerika Syarikat mengiktiraf Bailtulmakdis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmakdis tidak lama lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.