Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Komunikasi jadi halangan hulur bantuan perubatan bagi pelarian Rohingya

Masalah komunikasi merupakan antara cabaran yang dihadapi para petugas di Cox’s Bazar, Bangladesh, untuk memberi rawatan kepada pelarian Rohingya.

Anggaran Waktu Membaca:
Komunikasi jadi halangan hulur bantuan perubatan bagi pelarian Rohingya

Para pelarian Rohingya beratur bagi bantuan di Cox's Bazar, Bangladesh. (Gambar: REUTERS/Cathal McNaughton)

Diterbitkan : 30 Aug 2018 12:21PM Dikemas Kini : 30 Aug 2018 12:23PM

KUALA LUMPUR: Masalah komunikasi merupakan antara cabaran yang dihadapi para petugas di Cox’s Bazar, Bangladesh, untuk memberi rawatan kepada pelarian Rohingya.

Pengalaman berkenaan turut dikongsi Kapten Dr Dalilah Diana Al-Aliy Mamu yang merupakan satu-satunya doktor gigi yang ditempatkan di Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox’s Bazar.

Menurutnya, meskipun khidmat penterjemah digunakan, ada kalanya para pelarian yang memerlukan rawatan masih sukar memahami apa yang cuba disampaikannya.

“Kadang-kadang kita perlu cabut gigi mereka tetapi mereka berkeras tidak mahu kerana merasakan gigi itu masih elok...sukar untuk kita terangkan kepada mereka perkara sebenar sehingga menimbulkan salah faham,” kata Dr Dalilah.

Ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu berkata beliau merawat antara 20 hingga 25 pesakit setiap hari.

“Saya dibantu dua petugas, setiap hari kami tampal dan cabut gigi bukan sahaja para pelarian tetapi anggota-anggota yang bertugas di sana juga,” jelasnya.

Dalam pada itu, Komander Misi, Brigadier Jeneral Dr Adnan Abdullah berkata dianggarkan 100 hingga 180 pelarian menerima rawatan di hospital berkenaan setiap hari.

Katanya, seramai 16 doktor termasuk lapan pakar terlibat dalam operasi selama enam bulan itu.

“Hospital ini menjadi hospital rujukan bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana, mana-mana kes mereka tidak dapat rawat atau berlaku sebarang komplikasi akan dirujuk kepada HMM,” katanya.

Selain itu, HMM dilengkapi dengan peralatan canggih dan berkeupayaan untuk membuat pembedahan laparoskopik (teknik melihat ke dalam perut tanpa melakukan pembedahan besar), katanya.

Lebih 23,000 pesakit dirawat di HMM di Cox’s Bazar, Bangladesh sejak ia mula beroperasi pada Disember 2017.

Selain itu, sebanyak 754 prosedur pembedahan kecemasan yang menyelamatkan nyawa sudah dilakukan di samping 59 prosedur menyambut kelahiran bayi dan 1,813 rawatan pergigian.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan