Skip to main content

Dunia

Komitmen hutang 1MDB berbaki RM32.08 bilion setakat akhir Jun

Jumlah baki komitmen hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah RM32.08 bilion (S$10 bilion) setakat 30 Jun 2022 dengan andaian kadar tukaran wang asing AS$1 bersamaan dengan RM4.50.

Anggaran Waktu Membaca:
Komitmen hutang 1MDB berbaki RM32.08 bilion setakat akhir Jun

Papan iklan 1MDB di tapak pembangunan Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. (Gambar: Olivia Harris/Reuters)

KUALA LUMPUR: Jumlah baki komitmen hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah RM32.08 bilion (S$10 bilion) setakat 30 Jun 2022 dengan andaian kadar tukaran wang asing AS$1 bersamaan dengan RM4.50, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata bagi tempoh April 2017 hingga Mei 2022, kerajaan menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan sebanyak RM10.85 bilion (S$3.4 bilion) melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk pembayaran komitmen serta faedah hutang 1MDB berikutan masalah kewangan yang dihadapi 1MDB sebelum ini. 

“Selain daripada bantuan kewangan langsung kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai dengan menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang disimpan dalam satu Akaun Amanah di bawah MOF yang dikenali sebagai Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset,” katanya dalam jawapan bertulis di persidangan Dewan Rakyat hari ini (21 Jul).

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata setakat 30 Jun 2022, jumlah dana pemulihan aset 1MDB yang berjaya diperoleh semula adalah sebanyak RM19.28 bilion (S$6 bilion) daripada beberapa mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat, dolar Singapura dan dolar Australia.

“Dana ini telah dan akan digunakan bagi tujuan pembayaran hutang 1MDB dengan sebanyak RM10.84 bilion (S$3.4 bilion) telah digunakan untuk tujuan pelunasan hutang 1MDB setakat 30 Jun 2022.

“Pada masa ini, dana itu masih berbaki sebanyak RM8.83 bilion (S$2.8 bilion) (termasuk hibah dan untung atau rugi tukaran asing),” katanya. 

Selain itu, Tengku Zafrul berkata proses untuk mendapatkan semula dana 1MDB sedang berjalan. Beliau menyifatkannya sebagai suatu proses rumit dan panjang serta boleh memakan masa bertahun lamanya.

“Ini bukan sahaja melibatkan kerjasama beberapa agensi tempatan dengan asing, malah turut meliputi proses perundangan di mahkamah dan proses rundingan penyelesaian,” terangnya.

Namun, beliau menegaskan bahawa kerajaan tetap komited dalam meneruskan usaha untuk mendapatkan semula semua dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng, sama ada melalui tindakan undang-undang mahupun rundingan penyelesaian.

“Matlamat utama adalah untuk memaksimumkan pulangan bagi melunaskan hutang 1MDB dan mengurangkan beban kewangan kerajaan,” kata beliau.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita