Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

KOMENTAR: Benarkah Pesta Bon Odori gugat iman umat Islam M’sia atau setakat permainan politik?

Anggaran Waktu Membaca:

MALAYSIA: Pada awal Jun 2022, tertimbul kekecohan tentang sama ada umat Islam Malaysia boleh menghadiri Bon Odori, iaitu pesta tarian musim panas Jepun yang diadakan di Pulau Pinang dan Selangor pada bulan Julai setiap tahun selama lebih 30 tahun. 

Pada 6 Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, selaku Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), menasihatkan umat Islam di Malaysia supaya tidak menyertai acara tersebut kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati ia mengandungi unsur-unsur agama lain dan oleh itu, boleh menjejas kepercayaan Islam. 

Amaran itu turut dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang yang menegaskan bahawa "Muslim harus mengekalkan kesucian kepercayaan Islam mereka". 

Sebagai ketua Islam wilayahnya, Sultan Selangor menyarankan pendekatan yang lebih inklusif kepada acara Bon Odori itu. Katanya, beliau tidak mendapati sebarang unsur keagamaan yang akan menggugat kepercayaan umat Islam semasa menghadiri acara tersebut pada 2016. 

Menekankan bahawa Bon Odori merupakan acara kebudayaan, Sultan Selangor turut menggalak Encik Idris Ahmad supaya menyertai acara tersebut dan berkata bahawa menteri itu menggunakan JAKIM untuk mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat. 

Sekalipun demikian, Majlis Ulama PAS dan sayap wanitanya terus memberi amaran yang sama kepada umat Islam supaya mengelak daripada menghadiri acara tersebut.

PERTUKARAN BUDAYA DI M'SIA BUKAN MUDAH

Di Jepun, 'Obon' meraikan musim panas yang tiba dan juga melibatkan tarian rakyat yang menonjolkan unsur-unsur agama Buddha dan tradisi-tradisi lain yang memperingati roh orang-orang yang sudah meninggal dunia. 

Namun, mengikut konteks Malaysia, pesta Bon Odori itu dianjurkan oleh kumpulan ekspatriat Jepun dan juga rakyat tempatan untuk menggalakkan pertukaran budaya antara Malaysia dengan Jepun. Misalnya, bagi poster tahun ini, ia memaparkan seorang wanita berhijab yang memakai kimono, melambangkan pertukaran budaya ini. 

Walau bagaimanapun, untuk memupuk pertukaran budaya di Malaysia, di mana rakyat berbilang kaum hidup bersama tidak semudah yang dijangkakan. 

Pihak-pihak yang ingin membangkitkan semula agama dalam kalangan ahli politik Malaysia dan pemimpin Islam cenderung 'mempengaruhi atas nama Islam' terhadap amalan-amalan kebudayaan.

Meskipun tindakan itu sebelum ini terhad kepada budaya Melayu sahaja - yang berakar umbi daripada pemikiran bagaikan orang alim dan sikap eksklusif yang mahu 'melindungi' Islam - kini sudah dikaitkan dengan budaya-budaya lain seperti yang terbukti dalam kontroversi berhubung kait Bon Odori tahun ini.

PAS INKAR SULTAN?

Bagi sesetengah pemerhati, nasihat-nasihat PAS kepada umat Islam supaya mengelak daripada menghadiri acara tersebut dianggap sebagai secara terang-terangan menentang Sultan.

Walaupun PAS menolak dakwaan sedemikian sebagai provokasi parti pembangkang, kesannya menunjukkan kemungkinan berlaku pergelutan pengaruh agama dan budaya. Sultan sudah memanggil Ketua PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi supaya datang ke istananya, bermakna satu isyarat jelas menunjukkan kuasa Sultan dalam menguruskan hal-ehwal Melayu-Muslim. 

Pada masa yang sama, Mufti Perlis memberi cadangan bahawa pesta itu diberi nama baru untuk mengelak sebarang kekeliruan dengan acara yang asli di Jepun. Saranan tidak bersungguh-sungguh itu mencerminkan pemikiran yang kurang baik dan mungkin setakat usaha luaran untuk memperbaiki perpecahan yang sebenarnya lebih mendalam antara golongan yang dikatakan alim dan masyarakat Muslim Malaysia yang lain.

Keprihatinan untuk melindungi keimanan umat Islam dan 'mengelak kekeliruan' menunjukkan sikap mempertahankan diri atau 'siege mentality', yang tumbuh dalam budaya, agama dan ekonomi Malaysia sejak 1970an disebabkan kebangkitan Islam yang diterajui negara tersebut. 

Penggerak kebangkitan semula agama dalam kalangan ahli politik dan golongan elit mula 'mempengaruhi atas nama Islam' ruang-ruang awam dan ini kemudian meluas kepada pengawasan acara-acara kebudayaan yang dianggap menjejas 'kesucian' Islam.  

TREND SERUPA SEBELUM INI

Trend yang dapat dilihat baru-baru ini dalam politik adalah pelantikan pemimpin-pemimpin PAS untuk menyandang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

Satu contoh kebudayaan sebelum ini adalah Mak Yong, iaitu persembahan tarian tradisional yang dilarang oleh kerajaan wilayah Kelantan di bawah pimpinan PAS pada 1998. Ini kerana unsur-unsur tarian itu, yang berasal dari waktu Islam belum wujud di Nusantara, dianggap tidak sejajar dengan nilai-nilai Islam.

Walaupun larangan itu ditarik balik pada 2019, kerajaan menegaskan bahawa Mak Yong perlu 'diislamkan' supaya mematuhi undang-undang shariah dan tidak mengandungi sebarang penyembahan tidak sesuai dengan agama Islam. 

Terdapat juga kontroversi yang sudah lama menjadi topik hangat iaitu penggunaan perkataan 'Allah' oleh individu bukan Muslim, yang menurut kerajaan dan pihak berkuasa Islam akan mengelirukan masyarakat Muslim dan mengancam keselamatan negara. 

Ini tiada bezanya dengan pendapat PAS dan JAKIM mengenai Bon Odori. Sikap mempertahankan diri atau 'siege mentality' ini tidak memberi gambaran yang baik mengenai keadaan sosio-agama umat Islam dan bukan Islam di Malaysia, mahupun hubungan antara kaum dan agama. 

Bukan sahaja pihak berkuasa agama memperkecilkan agama Islam dan orang Muslim dengan seringkali mendakwa bahawa masyarakat Muslim perlu 'dilindungi', tetapi masyarakat Muslim Malaysia juga dicegah daripada menyertai sebarang acara sosio-budaya yang boleh menggalak sikap inklusif dan menghargai budaya dan agama lain. 

Malah, ia boleh menyebabkan rakyat menjadi jahil, bersikap eksklusif dan yang akhirnya, tidak boleh bertolak ansur, sekali gus menimbulkan bahaya bagi Malaysia yang berbilang kaum. 

Beberapa pihak memuji tindakan Sultan Selangor yang melindungi Islam daripada dicemari permainan politik. Beliau memberi amaran bahawa tiada sesiapa pun yang patut memanfaatkan isu-isu sensitif sedemikian untuk kepentingan peribadi atau politik dan populariti. 

Sekalipun demikian, insiden itu mungkin membentuk duluan bagi Sultan dan mungkin juga tokoh-tokoh budaya dan agama yang lain di Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam melindungi kehidupan berbilang kaum di Malaysia menjangkaui hal ehwal Melayu atau Muslim. 

Ini mungkin cara untuk melangkah ke hadapan sekiranya masyarakat Malaysia ingin menangani pihak-pihak lain dalam golongan konservatif yang mahu terus 'mempengaruhi atas nama Islam', dan mengancam untuk menghakis kehidupan berbilang budaya dan agama di Malaysia.

*Rencana asal diterbitkan Fulcrum pada 24 Jun 2022.

MENGENAI PENULIS:

Faris Ridzuan lulusan jurusan sains kemasyarakatan Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah seorang penyelidik yang menyumbang secara aktif kepada masyarakat sivil dan sektor sosial.
Afra Alatas adalah Pegawai Penyelidikan dalam Program Kajian Masyarakat dan Budaya Serantau di ISEAS-Institut Yusof Ishak.
Sumber : Sumber Web/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan