Komando tembak mati perampas pesawat Bangladesh
Pasukan komando Bangladesh menembak mati seorang penumpang pada Ahad (24 Feb) yang cuba memasuki bahagian kokpit pesawat Biman Bangladesh Airlines selepas mengacukan senjata dan mengancam akan meletupkan pesawat berkenaan, menurut pihak berkuasa.
DHAKA: Pasukan komando Bangladesh menembak mati seorang penumpang pada Ahad (24 Feb) yang cuba memasuki bahagian kokpit pesawat Biman Bangladesh Airlines selepas mengacukan senjata dan mengancam akan meletupkan pesawat berkenaan, menurut pihak berkuasa.
Penumpang itu, yang mengatakan dia mengalami masalah peribadi dengan isterinya memberitahu juruterbang pesawat berkenaan bahawa dia ingin bercakap dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina, maut akibat kecederaan yang dialaminya selepas para komando menyerbu masuk pesawat berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat di Chittagong, menurut para pegawai.
"Kami cuba untuk menangkapnya atau menggesanya supaya menyerah diri tetapi dia enggan berbuat demikian dan kami terpaksa menembaknya," kata Mejar Jeneral Tentera Bangaldesh, S M Motiur Rahman.
Pesawat Biman Bangladesh Airlines BG147 sedang dalam perjalanan dari Dhaka ke Dubai menerusi Chittagong apabila insiden itu berlaku. Para juruterbang memutuskan untuk membuat pendaratan cemas akibat ancaman yang dibuat oleh lelaki berkenaan untuk meletupkan pesawat tersebut.
Semua 142 penumpang dan kebanyakan anak kapal pesawat itu dilepaskan tanpa sebarang kecederaan sebelum para komando memasuki pesawat tersebut. Seorang anak kapal bagaimanapun ditahan sebagai tebusan, kata para pegawai.
Semasa satu sidang media yang diadakan, Naib Marsyal Udara Nayeem Hasan, yang juga Pengerusi Penguasa Penerbangan Awam Bangladesh, memberitahu para wartawan bahawa selain memegang apa yang dipercayai adalah sepucuk pistol, lelaki itu juga berkata terdapat bahan letupan yang dipasang pada tubuhnya.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada dia memiliki bahan letupan atau sama ada pistol itu bukan pistol palsu, kata seorang pegawai kanan. Selain itu, tidak jelas sama ada pistol itu mempunyai peluru dan mengapa ia tidak dikesan semasa menjalani pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang di Dhaka.
Isu-isu keselamatan adalah perkara yang menimbulkan keprihatinan dan ia akan disiasat, kata pegawai penerbangan itu.
Menurut Encik Hasan, lelaki itu dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an tahun. Dia mungkin adalah rakyat Bangladesh kerana didapati bertutur dalam bahasa Bangla. Namun, identitinya belum dapat dikenal pasti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.