Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Klinik TCM di China dakwa dapat rawat barah disiasat selepas 15 pesakit mati

Pihak berkuasa di China sedang menyiasat sebuah klinik perubatan tradisional Cina (TCM) di wilayah tengah Hubei selepas sekurang-kurangnya 15 orang dilaporkan mati selepas mendapatkan rawatan bagi penyakit barah.

Anggaran Waktu Membaca:
Klinik TCM di China dakwa dapat rawat barah disiasat selepas 15 pesakit mati

Contoh rawatan 'moxibustion' dalam TCM. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 05 Dec 2024 09:37AM Dikemas Kini : 05 Dec 2024 09:51AM
CHINA: Pihak berkuasa di China sedang menyiasat sebuah klinik perubatan tradisional Cina (TCM) di wilayah tengah Hubei selepas sekurang-kurangnya 15 orang dilaporkan mati selepas mendapatkan rawatan bagi penyakit barah.

Terletak di banjaran gunung utara, Klinik Perubatan Tradisional Cina Yaowang Valley, menarik perhatian online apabila pengasasnya Wu Pengfei, mendakwa rawatan TCM dapat mengubati penyakit barah.

Beliau juga didapati telah membuat promosi palsu, menurut laporan media tempatan di China.

Klinik itu didenda 417,000 yuan (S$77,118) kerana terlibat dalam "perbuatan haram" seperti menggajikan pekerja bukan daripada bidang kesihatan untuk menjalankan amalan perubatan.

Ia juga gagal menyimpan rekod pembelian ubat dan preskripsi.

Menurut rencana yang diterbitkan oleh akhbar harian Beijing News, klinik itu dibuka pada 18 April lalu dan ditutup pada 31 Mei dan ia merawat 392 pesakit.

Seramai 15 pesakit mati dan lagi 20 sakit tenat, menurut laporan itu.

Dalam satu video yang menguar-uarkan klinik berkenaan dan khidmat yang ditawarkan, seorang rakan subahat Wu yang bernama Hou Yuanxiang, mendakwa beliau memiliki "kemahiran perubatan unik" dan "merupakan individu pertama di China yang dapat merawat barah menggunakan TCM".

Beliau sebelum ini didakwa kerana menghasilkan dan menjual ubat tiruan dan kini berdepan tuduhan baharu berkaitan pelanggaran pengurusan ubat.

Wu juga mendakwa lebih 3,000 pesakit hilang tumbuhan mereka selepas dirawat oleh Hou.

Malah, kadar penyembuhan bagi pesakit barah di klinik itu adalah lebih 80 peratus.

Beijing News menemubual seorang wanita dari bandar Qingdao bernama Cik Wang Xiaoying, di mana saudara lelakinya telah mendapatkan rawatan di klinik berkenaan selepas beliau didiagnos menghidap barah pada Februari tahun ini.

Menurut Cik Wang, keluarganya mendapat tahu tentang klinik itu menerusi sebuah akaun online yang mengiklankan khidmatnya dan mendakwa pengasas klinik itu boleh merawat barah.

Oleh kerana beliau bersungguh-sungguh ingin mendapatkan rawatan perubatan, Cik Wang berkata beliau sekeluarga memandu ke klinik tersebut pada April lalu dan meminta untuk berjumpa dengan doktor dengan khidmat bayaran paling mahal.

Mendiang saudara lelakinya itu membayar 18,620 yuan (S$3,443.20) untuk menjalani rawatan tujuh hari dikenali sebagai "plum blossom moxibustion" dan diberi ubat rahsia selepas menjalani konsultasi untuk kurang lima minit.

"Moxibustion" merupakan rawatan TCM yang melibatkan pembakaran herba yang dikenali sebagai moxa, pada atau berdekatan kulit pesakit.

Selepas pulang ke Qingdao, Encik Wang makan ubat itu lalu mengalami cirit-birit.

Beliau mengambil ubat itu selama tempoh separuh bulan dan berat badannya turun 5 kilogram.

Beliau kemudian dimasukkan ke hospital selepas didiagnos dengan asites, iaitu satu keadaan serius yang berlaku apabila cecair berkumpul di bahagian perut.

Beliau meninggal dunia sebulan kemudian walaupun selepas mendapatkan rawatan perubatan.

Beberapa keluarga turut tampil untuk berkongsi bahawa anggota keluarga tersayang mati selepas mendapatkan rawatan di klinik itu dan mengalami gejala memudaratkan seperti rasa letih, hilang selera makan, sembelit dan muntah.

Menurut laporan, seorang bekas doktor yang pernah bekerja di klinik itu dan tidak didedahkan namanya, berkata produk herba 'Chinese aconite', iaitu tumbuhan akar toksik yang berasal dari Asia Timur dan beberapa kawasan di Rusia telah digunakan untuk menghasilkan ubat tersebut.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan