KLIA Terminal 1 tambah baik kemudahan kenderaan e-panggilan, yuran RM3 dikenakan mulai 4 Ogos
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 memperkenalkan beberapa penambahbaikan pada kemudahan pengambilan e-panggilan mulai Selasa (4 Ogos), bagi menyediakan pengalaman ketibaan yang lebih lancar, pantas dan selesa kepada para penumpang.
Kenderaan e-panggilan terus diberikan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang KLIA Terminal 1. (Gambar: Bernama)
- KLIA Terminal 1 memperkenalkan penambahbaikan kemudahan pengambilan e-panggilan bermula 4 Ogos untuk meningkatkan pengalaman penumpang.
- MAHB melaksanakan sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan, kios layan diri, ruang menunggu khas, dan marsyal bertugas untuk kawalan lebih baik.
- Yuran kemasukan RM3 dikenakan kepada setiap kenderaan e-panggilan, dengan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan sebelum caj penalti dikenakan.
- Langkah ini hasil kerjasama dengan pengendali e-panggilan, Kementerian Pengangkutan, APAD dan selaras cadangan Jawatankuasa Kerja Fasilitasi Lapangan Terbang Kebangsaan.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyatakan penambahbaikan itu termasuk pengenalan sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Kenderaan (LPR) yang disepadukan dengan Sistem Paparan Maklumat Penumpang (PIDS).
Kemudahan lain termasuk kios layan diri, ruang menunggu khas bagi penumpang, ruang pengambilan yang lebih tersusun serta marsyal yang bertugas di lokasi.
Menurut MAHB, sistem tersebut akan memperkukuh pemantauan dan kawalan akses, selain membantu membanteras kegiatan e-panggilan haram.
Ia juga bertujuan memastikan hanya kenderaan e-panggilan yang sah menggunakan kemudahan pengambilan penumpang tersebut.
YURAN RM3 BAGI SETIAP KENDERAAN
Mulai 4 Ogos, yuran kemasukan RM3 (S$0.94) dikenakan bagi setiap kenderaan e-panggilan yang memasuki kawasan pengambilan penumpang yang ditetapkan di Tingkat 1, Bangunan Terminal Utama, KLIA Terminal 1.
Menurut MAHB, yuran itu bertujuan menyokong operasi dan penyelenggaraan kemudahan serta sistem yang ditambah baik.
Kenderaan e-panggilan terus diberikan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang.
Kenderaan yang melebihi tempoh tersebut akan dikenakan caj penalti.
MAHB menyatakan langkah itu bertujuan memastikan aliran trafik lebih lancar, meningkatkan ketersediaan ruang pengambilan serta menjadikan proses mengambil penumpang lebih cekap.
Penambahbaikan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha KLIA untuk meningkatkan pengalaman penumpang, memperbaiki pergerakan trafik dan meningkatkan kecekapan operasi.
Menurut MAHB, inisiatif itu dibangunkan selepas sesi libat urus bersama pengendali e-panggilan serta penyelarasan dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Ia juga selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kerja Fasilitasi Lapangan Terbang Kebangsaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.