Skip to main content

Dunia

KLIA seragamkan caj kemasukan kenderaan e-panggilan kepada RM2 mulai 16 Sep

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyeragamkan caj kemasukan kenderaan e-panggilan kepada RM2 (S$0.62) termasuk cukai di Terminal 1 dan Terminal 2, berkuat kuasa pada Rabu (16 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
KLIA seragamkan caj kemasukan kenderaan e-panggilan kepada RM2 mulai 16 Sep

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyeragamkan caj kemasukan kenderaan e-panggilan kepada RM2 (S$0.62) mulai 16 September 2026. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 16 Sep 2026 12:36PM
  • KLIA menyeragamkan caj masuk kenderaan e-panggilan kepada RM2 termasuk cukai di Terminal 1 dan Terminal 2 mulai Rabu, 16 Sep.
  • Malaysia Airports berkata langkah itu memudahkan penumpang dan pengendali, menggantikan caj lama RM3 di Terminal 1 dan RM2.16 di Terminal 2.
  • Penambahbaikan Terminal 1 sejak Ogos 2026 meningkatkan pematuhan 10 minit kepada 99.3 peratus dan kapasiti waktu sibuk kepada 660 kenderaan sejam.
  • Abd Hasman Abd Muhimin berkata sistem LPR, PIDS, kiosk, ruang menunggu dan kawalan akses membantu trafik lebih lancar serta operasi lebih cekap.
Dijana oleh AI
SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyeragamkan caj kemasukan kenderaan e-panggilan kepada RM2 (S$0.62) termasuk cukai di Terminal 1 dan Terminal 2, berkuat kuasa pada Rabu (16 Sep).

Sebelum ini caj yang dikenakan ialah RM3 (S$0.93) di Terminal 1 dan RM2.16 (S$0.67) di Terminal 2.

Menurut Malaysia Airports, penyeragaman tersebut bertujuan memudahkan penumpang serta pengendali e-panggilan, selain melancarkan pengambilan penumpang di kedua-dua terminal.

Sementara itu, kemudahan e-panggilan yang ditambah baik di Terminal 1 pada Ogos 2026 telah merekodkan peningkatan memberangsangkan dalam prestasi operasi.

"Dalam tempoh hanya sebulan pelaksanaan, 99.3 peratus pemandu e-panggilan kini menyelesaikan pengambilan penumpang dan keluar dalam tempoh tangguh yang ditetapkan, iaitu 10 minit, berbanding 49.4 peratus sebelum ini.

“Jumlah kenderaan harian yang memasuki lorong pengambilan penumpang berkurangan 13.5 peratus, daripada 8,124 kepada 7,024 kenderaan,” menurut kenyataan tersebut pada Rabu.

Ini mencerminkan kawalan operasi e-panggilan yang lebih baik, dengan pengurangan aktiviti tanpa kebenaran, pergerakan kenderaan yang tidak perlu dan tempoh kenderaan berhenti tanpa tujuan yang lama.

Sistem yang ditambah baik itu turut meningkatkan kapasiti pemprosesan pada waktu sibuk daripada 302 kepada 660 kenderaan sejam, sekali gus membolehkan penggiliran kenderaan yang lebih pantas dan operasi pengambilan penumpang lebih lancar.

Pengurus Besar Kanan Pengalaman Penumpang KLIA Abd Hasman Abd Muhimin berkata penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan e-panggilan di KLIA, mencerminkan komitmen pengendali lapangan terbang untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar, di samping memastikan operasi kekal teratur, cekap dan responsif. 

"Di KLIA, setiap aspek perjalanan penumpang penting, termasuk pengalaman perjalanan pergi dan balik dari lapangan terbang.

“Dengan menyediakan ruang dalaman yang selesa untuk penumpang menunggu serta memberikan masa yang sesuai kepada pemandu, kami melihat pematuhan yang lebih baik, pergerakan kenderaan lebih pantas dan aliran trafik lebih lancar," kata beliau.

Kemudahan yang dinaik taraf di Terminal 1 merangkumi sistem Pengecaman Plat Lesen (LPR) yang diintegrasikan dengan Skrin Paparan Maklumat Penumpang (PIDS), kiosk layan diri, kawasan menunggu dan pengambilan penumpang, serta petugas lapangan.

Penambahbaikan sistem e-panggilan itu turut membolehkan pemantauan dan kawalan akses yang lebih ketat bagi memastikan hanya kenderaan e-panggilan yang dibenarkan menggunakan kemudahan pengambilan penumpang yang ditetapkan.

Kenderaan e-panggilan akan terus diperuntukkan tempoh maksimum 10 minit di kawasan pengambilan penumpang untuk melancarkan pergerakan trafik, memastikan petak pengambilan penumpang sentiasa tersedia dan melancarkan proses pengambilan penumpang.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita