Skip to main content

Dunia

KLIA dijangka terima 3 atau 4 syarikat penerbangan baharu jelang akhir 2026

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka menerima tiga atau empat syarikat penerbangan baharu menjelang akhir 2026, dengan perbincangan mengenainya sudah berada di peringkat lebih tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
KLIA dijangka terima 3 atau 4 syarikat penerbangan baharu jelang akhir 2026

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Izani Ghani berucap selepas ketibaan penerbangan sulung Gulf Air GF158 dari Bahrain ke Kuala Lumpur di KLIA pada 30 September 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Oct 2026 11:46AM
  • KLIA dijangka menerima tiga atau empat syarikat penerbangan baharu menjelang akhir 2026, dengan rundingan pada peringkat lebih tinggi dan persiapan dibuat MAHB.
  • Mohd Izani Ghani berkata langkah itu bertujuan mengukuhkan rangkaian antarabangsa KLIA dan menyokong usaha Malaysia menarik lebih ramai pelancong luar.
  • MAHB juga bersedia menghadapi kira-kira 200,000 penonton F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di SIC dari 2 hingga 4 Oktober.
  • Gulf Air kembali ke KLIA melalui penerbangan terus Bahrain-Kuala Lumpur tiga kali seminggu, tepat menjelang F1 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Dijana oleh AI
SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka menerima tiga atau empat syarikat penerbangan baharu menjelang akhir 2026, dengan perbincangan mengenainya sudah berada di peringkat lebih tinggi.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Izani Ghani berkata, pengendali lapangan terbang tersebut sedang membuat persiapan untuk menerima syarikat penerbangan baharu berkenaan, selaras dengan usaha berterusannya memperluas rangkaian syarikat penerbangan antarabangsa di KLIA.

“Kami sedang menantikan ketibaan beberapa syarikat penerbangan dari sekarang hingga akhir tahun ini. Sekurang-kurangnya tiga atau empat syarikat penerbangan akan beroperasi sebelum akhir tahun dan kami sedang membuat persiapan untuk itu.

"Rundingan dengan syarikat penerbangan berkenaan sudah menunjukkan kemajuan dan seperti yang saya katakan, menjelang akhir tahun, kira-kira tiga atau empat syarikat penerbangan akan beroperasi di KLIA dan kami amat teruja mengenainya,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis sambutan penerbangan sulung secara terus Gulf Air dari Bahrain ke Kuala Lumpur di Terminal 1 KLIA, di Sepang, pada Rabu (30 Sep).

Encik Mohd Izani berkata, Malaysia Airports mahu memastikan KLIA berada pada kedudukan yang baik untuk menampung lebih banyak syarikat penerbangan terbang ke negara ini, khususnya ketika Malaysia berusaha menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.

Sementara itu, beliau berkata, MAHB sedang membuat persiapan menghadapi pergerakan penumpang dan pengunjung yang lebih tinggi sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober.

Kira-kira 200,000 penonton dijangka menghadiri perlumbaan tersebut sepanjang tiga hari berkenaan, dengan jumlah kehadiran tertinggi bakal dicatatkan pada Ahad, kata beliau.

Encik Mohd Izani berkata, kerajaan turut menubuhkan pasukan petugas khas untuk memastikan agensi berkaitan bekerjasama dalam melancarkan pergerakan sepanjang acara itu, dengan MAHB antara agensi yang berada dalam jawatankuasa berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan para penonton supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan memandangkan kemudahan tempat meletak kenderaan di sekitar KLIA adalah terhad.

Malaysia bakal menyaksikan kembalinya perlumbaan F1 ke SIC selepas sembilan tahun menerusi penganjuran F1 Bahrain GP.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan tersebut dikeluarkan daripada kalendar F1 disebabkan oleh kos penganjuran dan yuran pelesenan yang meningkat.

Kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia adalah hasil kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.

Berhubung penerbangan sulung secara langsung Gulf Air antara Bahrain dan Kuala Lumpur, Mohd Izani berkata, kembalinya syarikat penerbangan itu ke KLIA amat bertepatan pada masanya, terutama menjelang Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Dengan jumlah pelawat antarabangsa yang dijangka meningkat, kami bersedia menguruskan aliran penumpang yang lebih tinggi dan mempunyai pelan operasi yang telah disediakan di kedua-dua terminal.

"Ini termasuk mengoptimumkan aliran penumpang, bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan agensi kerajaan berkaitan, serta memperkukuh sokongan di lapangan bagi memastikan pengalaman ketibaan yang lancar dan mesra,” tambah beliau.

Menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner, perkhidmatan Gulf Air tersebut akan beroperasi sepanjang tahun dengan kekerapan tiga kali seminggu.

Pelancaran itu menjadikan Gulf Air syarikat penerbangan ke-10 dari Timur Tengah yang beroperasi di KLIA, sekali gus memperluaskan lagi rangkaian syarikat penerbangan antarabangsa di lapangan terbang berkenaan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita