KL masih selamat; 2 insiden tembakan baru-baru ini ada motif tertentu, tegas ketua polis
Ketua polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata bahawa motif bagi kes-kes di Cheras dan Brickfields melibatkan perselisihan dalaman antara suspek dan mangsa. (Gambar: Facebook/Polis KL, Facebook/Norazam Mazlan)
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, kedua-dua kejadian dipercayai berpunca daripada perseteruan antara suspek dan mangsa serta mempunyai motif tertentu, dan bukannya melibatkan tembakan rambang.
“Seperti yang dinyatakan Ketua Polis Kuala Lumpur (Rusdi Mohd Isa), kejadian tersebut melibatkan sasaran tertentu dan ia berlaku akibat konflik yang tercetus di luar kawasan ibu negara.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana keselamatan di sekitar Kuala Lumpur masih terkawal,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur pada Rabu (18 Jun).
Encik Razarudin berkata menyusuli kejadian itu, Polis Kontinjen Kuala Lumpur sudah meningkatkan kawalan dan operasi bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
“Kuala Lumpur masih selamat dan polis akan terus memastikan keselamatan masyarakat terjamin. Kita turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat sekiranya mengetahui tentang kegiatan yang mencurigakan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua kejadian tembakan berasingan dalam tempoh empat hari dipercayai berpunca daripada perselisihan lampau antara suspek dan mangsa.
Dalam kejadian di Jalan Loke Yew, Cheras lewat malam Selasa (17 Jun), Ketua Polis Kuala Lumpur berkata ia dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak, manakala kes di Brickfields yang berlaku Jumaat lalu (13 Jun) pula dipercayai berkaitan konflik jenayah di Selangor.
Dalam insiden yang berlaku di Cheras, dua lelaki warga tempatan maut ditembak sekumpulan lelaki memakai topeng ski hitam di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Loke Yew.
Sementara itu, dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields pada 14 Jun lalu, seorang lelaki maut manakala dua lagi rakannya cedera akibat ditembak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.