Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

KKM ambil langkah cermat, selamat berhubung pelaksanaan PRU15, kata Khairy Jamaluddin

Anggaran Waktu Membaca:

MELAKA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendekatan cermat dan selamat berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata negara masih lagi dalam Fasa Peralihan ke Endemik dan pihaknya sedang menunggu impak fasa itu.

“Jika Fasa Peralihan ke Endemik tidak mencetuskan gelombang yang serius, maka saya rasa pada waktu itu (boleh diadakan PRU15), sebab kalau kita buat Pilihan Raya Negeri (PRN) banyak kita boleh kawal.

“Tapi selepas ini tanpa apa-apa sekatan lagi, mestilah parti-parti politik akan minta buat ceramah. Dulu (ketika PRN) kita tidak ada ceramah besar-besaran jadi bagi saya lebih baik kita berwaspada dan hati-hati,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang dilaporkan hari ini (5 Jun) berkata tiada lagi alasan untuk PRU15 tidak diadakan dalam masa terdekat, kerana memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang akan berakhir selepas Julai ini, selain pandemik COVID-19 juga sudah berakhir.

Dalam pada itu, Encik Khairy turut mengingatkan orang ramai agar menggunakan terma yang tepat berkaitan pandemik COVID-19.

“Kita masih lagi pandemik, lagipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum lagi umum COVID-19 sebagai ‘public health emergency of international concern’, dan bila diumumkan nanti Malaysia juga akan buat pengumuman bahawa kita tidak lagi akan menggunakan Akta 342 (Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Maksudnya di bawah Akta 342, saya sebagai Menteri Kesihatan masih lagi mengisytiharkan Malaysia sebagai kawasan pandemik COVID-19. Jadi tidak tepat kita dah tamat pandemik,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Khairy berkata kerajaan akan memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada kanak-kanak pada sambutan tertentu seperti sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan, 16 Jun ini setelah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dihentikan 31 Mei lalu.  

“Kita akan buka kepada mereka yang dah melepasi usia lima tahun. Itu keistimewaan...mungkin ada yang tercicir, jadi kita buka balik pada sambutan-sambutan tertentu,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata kanak-kanak yang mencapai usia lima tahun akan menerima vaksin secara percuma sehingga 31 Jan 2023.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan