Skip to main content

Dunia

KJ serah kepada Menteri Kesihatan baharu tentang penggunaan ganja dalam perubatan

Anggaran Waktu Membaca:
KJ serah kepada Menteri Kesihatan baharu tentang penggunaan ganja dalam perubatan

(Gambar fail: Malaysiakini)

Diterbitkan : 16 Dec 2023 09:37PM
ISKANDAR PUTERI: Banyak kajian perlu dilakukan agensi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) sebelum memutuskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan negara.

Demikian menurut Mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Namun, keputusan tersebut sama ada diteruskan atau tidak, diserahkan kepada Menteri Kesihatan yang baharu dilantik, Dr Dzulkefly Ahmad, lapor Sinar Harian.

"Rujukan kajian boleh dibuat beliau (Dr Zulkefly) sebelum memutuskan pelaksanaannya.

"Saya rasa sudah banyak kajian dibuat pada zaman saya (semasa menjadi Menteri Kesihatan), jadi Dr Dzulkefly boleh sahaja rujuk kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk KKM.

"Dan seterusnya buat keputusan sama ada perkara itu (ganja dalam perubatan) hendak diteruskan atau tidak," katanya ketika ditanya pandangan pelaksanaan penggunaan ganja dalam bidang perubatan negara.

Penasihat Belia Johor itu berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum melancarkan Persidangan Dewan Muda Johor Sesi 2023 di Bangunan Dato' Jaafar Mohamad, Kota Iskandar di Johor Bahru pada Sabtu (16 Dis).

Pada 25 Ogos tahun lalu, sewaktu menjawat jawatan Menteri Kesihatan pada lawatan kerja di Bangkok,Thailand, Encik Khairy memaklumkan kerajaan akan mengambil pendirian berhubung penggunaan ganja dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun lalu dan dasarnya akan dilaksana tahun ini.

Namun, langkah itu seolah 'senyap' selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam lawatannya ketika itu, Encik Khairy juga memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan ganja digunakan untuk tujuan rekreasi di Malaysia.

Pada 9 Jun tahun lalu, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan ganja untuk tujuan perubatan.

Menurut laporan Sinar Harian, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand mengeluarkan ganja yang mengandungi tidak melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC), daripada senarai narkotik yang diharamkan.

Bagaimanapun, pemilikan kandungan yang diekstrak seperti minyak serta hidangan seperti makanan dan minuman mengandungi lebih daripada 0.2 peratus THC, masih diharamkan di Thailand.

THC adalah sebatian psikoaktif utama yang terdapat dalam ganja.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita