Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

KJ 'keluar sekejap' medan politik; PRN penentu masa depan PN, UMNO

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Mantan Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin mendedahkan beliau akan "keluar sekejap" daripada gelanggang politik negara itu.

Ini merupakan isyarat paling jelas pernah diberikan beliau berhubung penyertaan semula ke dalam arena politik.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp pada Selasa (9 Mei).

"Itu pun nama podcast saya keluar sekejap, jadi saya dah keluar daripada politik. Sekejap itu masanya relatif, sekejap boleh jadi satu tahun, sekejap boleh jadi 10 tahun, itu relatif. Itu kita buat keputusan kemudian," ujar beliau.

Namun, Encik Khairy menambah buat masa ini tidak ada sebarang sebab yang boleh menentukan tempoh beliau "keluar sekejap".

Ini sekaligus membayangkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan, tidak lama lagi.

PERLU TELITI KEPUTUSAN PRN

Encik Khairy yang kini turut menggalas tanggungjawab sebagai Zamil Pelawat Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak berkongsi bahawa beliau tidak menjangkakan keputusan PRN itu nanti, akan membawa kesan besar terhadap keutuhan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau percaya kedua-dua Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) akan berjaya mempertahankan negeri-negeri masing-masing.

Sungguhpun begitu, beliau menekankan peri perlunya untuk meniliti keputusan PRN itu nanti bagi mengetahui corak masa depan PN mahupun UMNO.

Mentelah lagi, kedua-dua pihak itu berkongsi satu pangkalan sokongan yang sama iaitu pengundi Melayu.

Encik Khairy berkata: "Yang lebih menarik adalah sejauh mana Perikatan Nasional dapat perkembangkan pengaruh mereka dan sokongan mereka di negeri-negeri Pakatan Harapan terutamanya Selangor.

"Dan ini yang disebutkan gelombang, bukan gelombang hijau tapi mungkin gelombang PN dan apa yang menarik adalah sejauh mana PN dapat meneruskan gelombang tersebut ke Selangor sebab jika mereka berjaya untuk perkembangkan pengaruh dan sokongan mereka sampai ke Selangor maksudnya mereka bukan lagi parti semata-mata di kubu kuat Melayu."

BERKESAN ATAU TIDAK KERJASAMA PH-UMNO DALAM PRN NANTI?

Bagi parti UMNO, kata Encik Khairy, PRN kali ini mungkin ibarat suatu ujian untuk melihat di manakah mereka dalam kalangan pengundi Melayu sejak menyertai Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, PRN boleh dijadikan kayu ukur buat UMNO menilai keberkesanan mereka dalam kerajaan perpaduan meskipun ini mungkin satu cabaran besar.

"Kalau jawapan jujur saya UMNO ini kemudaratan kepada PH dan saya rasa persoalan besar adalah sama ada pengundi UMNO nak bagi kepada UNMO PH ataupun dia akan bagi kepada Perikatan Nasional.

"Saya rasa hari ini 50 peratus daripada pengundi UMNO akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional dia tak sanggup untuk bagi kepada UMNO ataupun kepada PH," kongsi Encik Khairy.

Lantaran itu jika keputusan PRN tidak memihak kepada UMNO, Encik Khairy berfikir ini akan memburukkan lagi kedudukan UMNO yang disifatkannya kini dalam keadaan malap.

"Masa depan UMNO sangat malap, masa depan UMNO sekarang ini bergantung harap kepada Anwar Ibrahim, bergantung harap kepada ihsan Anwar Ibrahim. Minta maaf cakaplah UMNO ini dah jadi pengemis politik.

"Walaupun dengan kepimpinan yang sedia ada, UMNO akan hidup, tetapi dia hidup segan, mati tak mahu lah. Dia tidak hidup segar dan bermaruah, dan dia, dia juga tidak mati tetapi dia menjadi parti yang sangat-sangat lemah dan mungkin kekal menjadi pilihan ketiga orang Melayu," ujar Encik Khairy.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan