Skip to main content

Dunia

#kitajagakita: Kehebatan media sosial satukan rakyat Malaysia hadapi bencana

Anggaran Waktu Membaca:
#kitajagakita: Kehebatan media sosial satukan rakyat Malaysia hadapi bencana

Gambar logo Twitter. (Gambar: Olivier Douliery/AFP)

Diterbitkan : 23 Dec 2021 11:46PM

KUALA LUMPUR: Platform media sosial memainkan peranan penting ketika negara berhadapan dengan bencana banjir baru-baru ini apabila tweet berkaitan bencana banjir di Malaysia mencecah hampir lima juta secara global antara 18 hingga 21 Disember. 

Twitter Asia Tenggara dalam kenyataannya hari ini (23 Dis) mengatakan lima tanda pagar paling popular yang digunakan untuk meminta bantuan, mendapatkan maklumat sahih dan mengikuti perkembangan semasa ketika bencana banjir baru-baru ini ialah #DaruratBanjir, #banjir darurat, #banjir, #rakyatjagarakyat dan #kitajagakita. 

“Tanda pagar seperti #banjirdarurat telah memberi inspirasi, menyemaikan perpaduan dan mendorong rakyat Malaysia untuk memberi sokongan dan menghimpunkan bantuan yang diperlukan oleh mangsa banjir."

“Tanda pagar #DaruratBanjir telah menyumbang dalam usaha sama rakyat Malaysia menangani krisis nasional tidak kira bangsa dan agama,” katanya.

Menurut Twitter Asia Tenggara perkara itu memudahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Para pengguna Twitter yang mempunyai jumlah pengikut yang banyak memainkan peranan penting dengan menggesa rakyat Malaysia untuk mengarahkan bantuan dengan apa sahaja sumber demi membantu masyarakat yang terjejas, katanya. 

Tambahnya, ketika hujan lebat di beberapa negeri dan daerah di Malaysia, orang ramai beralih ke Twitter untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kawasan yang terjejas demi menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih belum menerima bantuan.

Menurut Twitter Asia Tenggara lagi, ramai rakyat Malaysia menggunakan Twitter untuk berkongsi butiran mangsa yang masih terperangkap dan haiwan-haiwan yang terdampar dengan harapan suara mereka akan didengari oleh pasukan penyelamat. 

Hasil pelbagai perkongsian mengenai bencana banjir di Twitter, rakyat Malaysia bersatu dan bangkit menghulurkan bantuan dari segi kewangan, sumbangan makanan, aktiviti sukarelawan dan tempat perlindungan haiwan, katanya. 

Selain itu ada rakyat Malaysia yang berbesar hati menawarkan bot dan kenderaan mereka digunakan demi misi menyelamatkan mangsa banjir, tambah kenyataan itu.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita