Kisah di sebalik skandal 1MDB dibukukan
Pengarang buku The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose mendakwa bahawa Jho Low pernah mencuba untuk menghalang penerbitan buku yang membongkar cerita di sebalik siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Jho Low didakwa cuba halang penerbitan buku bongkar skandal 1MDB (kiri).(Gambar: Bookalicious!/Jho low/ Facebook)
PETALING JAYA: Pengarang buku The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose mendakwa bahawa Jho Low pernah mencuba untuk menghalang penerbitan buku yang membongkar cerita di sebalik siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Malah, Cik Clare Rewcastle Brown memberitahu Astro Awani bahawa ahli perniagaan itu pernah mengancam sebuah syarikat penerbitan di Britain melalui peguamnya sehingga syarikat berkenaan menarik diri untuk menerbitkan buku tersebut.
"Buku ini adalah perjalanan saya mendedahkan skandal yang melibatkan mantan Perdana Menteri Najib Razak, dan sepanjang pengalaman ini, saya rasa seperti sedang beraksi dalam filem!
"Skandal 1MDB ini adalah satu kes rasuah yang terburuk ketika ini, saya harap kes ini dapat membuka mata kepada semua tentang risiko dan bahaya dalam skandal seperti ini.
"Apabila orang bertanya jika saya pernah rasa takut, saya jawab, saya lebih menghormati mereka yang berada di Malaysia yang buat pendedahan 1MDB kerana saya mendedahkan dalam persekitaran yang selamat di United Kingdom," cerita Cik Clare kepada Astro Awani.
Pengarang Clare Rewcastle Brown (kiri) di majlis pelancaran bukunya. (Gambar: Zahir Hassan Official/Facebook)
Dalam pada itu, Cik Clare, 58 tahun, seorang anak kelahiran Sarawak berkata bahawa buku yang diterbitkannya turut menyampaikan mesej tentang perlunya melaksanakan undang-undang dan peraturan untuk berlindung daripada penjenayah yang mempunyai hubungan dengan orang yang berkuasa. Mesej itu, kata Cik Clare, relevan kepada semua penduduk di merata dunia.
Sebelum ini, Cik Clare memainkan peranan penting dalam mendedahkan fakta di sebalik skandal 1MDB, termasuk membongkar identiti lelaki utama di sebalik skandal berkenaan, Jho Low, dalam siasatan yang memakan masa beberapa tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.