Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kipas sebagai makmum solat trend ikutan anak muda

Orang ramai diminta melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.

Anggaran Waktu Membaca:
Kipas sebagai makmum solat trend ikutan anak muda

(Gambar fail: Agensi berita)

Diterbitkan : 28 May 2022 02:31PM Dikemas Kini : 28 May 2022 02:34PM
IPOH: Orang ramai diminta melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata perbuatan itu menjadi ikutan anak muda dan remaja sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya nasihatkan kepada anak muda semua supaya mendapatkan ilmu agama dengan mencari guru yang boleh mengajarkan dengan betul seperti melalui kuliah di masjid, surau dan sebagainya.

"Janganlah ambil ilmu yang ditiru dari Youtube dan mana-mana sumber yang tidak diketahui. Jadi perkara yang mengarut dan pelik ini diminta supaya laporkan kepada pejabat agama supaya boleh diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas yang dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini (28 Mei).

Baru-baru ini, tular satu trend memuat naik video, khususnya di aplikasi TikTok, yang menunjukkan individu - rata-rata berstatus bujang - berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kegiatan menggunakan imej agama dan gelaran ustaz untuk memperdaya masyarakat dengan tawaran ibadah atau produk yang bertujuan untuk kepentingan peribadi, Naib Presiden PAS itu menyifatkan ia sebagai satu perbuatan zalim.

"Janganlah mengambil kesempatan buat perkara begini terutama soal ibadat kerana ia menzalimi orang-orang yang terkena dangan perbuatan mereka.

"Pihak yang terkena diharapkan membuat laporan polis supaya pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Selasa lalu (24 Mei), Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin Al -Ghari, dilaporkan berkata antara penipuan itu termasuklah kempen derma, wakaf dan pakej umrah yang menggunakan pelbagai tarikan seperti penginapan termurah dan yang berdekatan dengan Masjidil Haram di Tanah Suci.
 
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan