Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kim, Putin ikrar hubungan lebih erat dalam rundingan pertama

Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berikrar untuk menjalin ikatan lebih erat dalam pertemuan empat mata yang julung kali diadakan pada Khamis (25 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Apr 2019 08:26PM Dikemas Kini : 25 Apr 2019 09:22PM

VLADIVOSTOK: Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berikrar untuk menjalin ikatan lebih erat dalam pertemuan empat mata yang julung kali diadakan pada Khamis (25 Apr).

Pertemuan di bandar Vladivostok di Timur Rusia diadakan ketika Encik Kim cuba mendapatkan sokongan sedang Korea Utara menghadapi kebuntuan dalam isu nuklear dengan Washington.

Encik Putin pula berhasrat meluaskan pengaruh Moscow sebagai pemain dunia dalam satu isu global yang menimbulkan ketegangan.

Dalam kenyataan ringkas sebelum memulakan rundingan, kedua-dua pemimpin menyuarakan harapan untuk memperkukuh hubungan sejarah mereka yang panjang.

"Saya fikir ini akan menjadi satu pertemuan yang berguna dalam mempereratkan hubungan kedua-dua negara, yang mempunyai sejarah persahabatan yang panjang untuk menjadikannya lebih stabil dan kukuh," kata Encik Kim.

Encik Putin pula memberitahu Encik Kim bahawa beliau menyokong usaha berterusan untuk mengendurkan ketegangan di semenanjung Korea dan mahu memperkukuh hubungan ekonomi.

"Saya yakin bahawa lawatan anda... akan membantu kami memahami bagaimana kami dapat menghuraikan situasi di semenanjung Korea serta apa yang boleh dilakukan Rusia untuk menyokong proses-proses positif yang sedang berlaku," kata Encik Putin.

"Dari segi hubungan dua hala, banyak yang boleh dilakukan untuk memperdalam hubungan ekonomi," tambah Encik Putin.

Pertemuan itu adalah perbincangan bersemuka pertama Encik Kim dengan seorang lagi ketua negara sekembalinya dari sidang puncak di Hanoi dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang gagal tanpa sebarang perjanjian dimeterai berhubung senjata nuklear Korea Utara pada bulan Februari.

Encik Kim, yang pemerintahnya telah memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa ia menghadapi kekurangan bekalan makanan tahun ini, juga berharap Moscow akan meneruskan atau menambah bantuan yang dihulurkan ke Pyongyang.

Bagi Encik Putin pula, sidang puncak itu adalah peluang untuk memperkukuh agenda Rusia dalam menentang pengaruh Amerika Syarikat di peringkat global.

Kremlin menyatakan perbincangan pada Khamis tertumpu kepada "penyelesaian politik dan diplomatik untuk masalah nuklear di semenanjung Korea" tetapi tidak ada kenyataan bersama atau pemeteraian perjanjian dirancang. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan