Skip to main content

Dunia

Kim, Pompeo setuju adakan sidang kedua AS-Korea Utara 'secepat mungkin'

Kim Jong Un bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump secepat mungkin, menurut Seoul pada Ahad (7 Okt), selepas diplomat kanan Washington mengadakan perbincangan "produktif" mengenai pelucutan nuklear bersama pemimpin Korea Utara itu di Pyongyang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Oct 2018 04:07PM Dikemas Kini : 09 Oct 2018 12:47AM

SEOUL: Kim Jong Un bersetuju untuk mengadakan sidang kemuncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump secepat mungkin, menurut Seoul pada Ahad (7 Okt), selepas diplomat kanan Washington mengadakan perbincangan "produktif" mengenai pelucutan nuklear bersama pemimpin Korea Utara itu di Pyongyang.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo mengadakan pertemuan dengan Encik Kim pada pagi Ahad (7 Okt) untuk berbincang selama kira-kira dua jam, yang kemudian disusuli dengan jamuan tengah hari di ibu negara Korea Utara itu, sebelum terbang ke Seoul dalam satu siri lawatan diplomatik ke rantau itu.

Encik Pompeo berkata "beliau bersetuju dengan Pengerusi Kim untuk mengadakan sidang kemuncak kedua Amerika Syarikat-Korea Utara pada tarikh seawal mungkin", menurut pejabat presiden Korea Selatan dalam kenyataannya. Sungguhpun demikian, belum ada masa atau lokasi yang dipersetujui.

Encik Pompeo dan Encik Kim juga membincangkan "langkah-langkah yang akan diambil oleh Korea Utara untuk melucutkan senjata nuklearnya dan isu berhubung kehadiran wakil pemerintah Amerika Syarikat," serta "langkah-langkah sesuai" yang akan diambil oleh Amerika Syarikat, menurut kenyataan itu.

Lawatan ke Korea Utara itu adalah yang keempat oleh Encik Pompeo.

Encik Trump bertemu Encik Kim di Singapura pada Jun untuk sidang kemuncak pertama antara kedua-dua negara, menghasilkan apa yang disifatkan oleh para pengkritik sebagai komitmen yang tidak jelas oleh Encik Kim terhadap pelucutan nuklear di Semenanjung Korea.

Kim "berterima kasih kepada Presiden Trump atas usaha ikhlas" untuk melaksanakan perjanjian Singapura, menurut laporan agensi berita Korea Utara, KCNA.

"Kim Jong Un menghargai perkembangan positif situasi di Semenanjung Korea ... (dan) menerangkan secara terperinci saranan-saranan untuk menyelesaikan isu pelucutan nuklear," lapor KCNA.

Pemimpin Korea Utara itu juga mengundang para pemeriksa untuk mengunjungi tapak ujian nuklear Punggye-ri, yang ditutup oleh Pyongyang pada Mei, "untuk mengesahkan bahawa ia sudah menutupnya secara rasmi," menurut Jabatan Negara Amerika.

Encik Kim juga memuji "pertemuan baik" mereka, sambil memberitahu Pompeo menerusi jurubahasa menyusuli rundingan sebelah pagi itu bahawa ia adalah "hari yang sangat baik yang menjanjikan masa depan yang cerah ... untuk kedua-dua negara".

Sumber : Reuters/TQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita