Kim Moon-soo jadi calon presiden bagi parti konservatif utama Korea Selatan
Mantan menteri buruh Kim Moon-soo memenangi pencalonan presiden bagi parti konservatif utama Korea Selatan.
Mantan pemimpin Parti Kuasa Rakyat Korea Selatan (PPP), Han Dong-hoon (kiri), dan mantan menteri buruh, Kim Moon-soo, mengangkat tangan semasa konvensyen parti itu di Goyang, Korea Selatan, pada 3 Mei 2025. (Gambar: AP/Ahn Young-joon)
Pemerhati berpendapat bahawa Encik Kim kemungkinan besar akan berusaha untuk bekerjasama dengan kuasa konservatif lain, seperti mantan perdana menteri Han Duck-soo, bagi mengelakkan perpecahan undi konservatif. Ini dilakukan demi meningkatkan peluang untuk mengalahkan Encik Lee.
Bagi pemilihan parti yang berakhir pada Sabtu (3 Mei), Encik Kim memperoleh 56.5 peratus undi, mengalahkan satu-satunya pencabar beliau, Han Dong-hoon, menurut pengumuman parti itu dalam satu siaran televisyen. Calon-calon lain telah disingkirkan dalam pusingan terdahulu.
Pilihan raya 3 Jun itu diadakan untuk mencari pengganti presiden Yoon Suk Yeol, anggota Parti Kuasa Rakyat Korea Selatan (PPP), yang dipecat daripada jawatannya pada awal April susulan pelaksanaan undang-undang tentera yang tidak berjaya pada 3 Disember.
Encik Kim menentang penyingkiran Encik Yoon oleh parlimen, tetapi mengatakan beliau menghormati keputusan Mahkamah Perlembagaan yang secara rasmi memecat Encik Yoon sebagai presiden pada awal April.
Pemecatan Encik Yoon menjadi punca utama pertelingkahan dalam PPP dan isu hangat dalam pemilihan parti tersebut.
Encik Han, yang pernah berkhidmat sebagai menteri kehakiman dalam pemerintah Encik Yoon, mengetuai satu puak reformis kecil dalam PPP. Mereka bersama-sama parti pembangkang liberal mengundi untuk membatalkan perintah undang-undang tentera Encik Yoon dan kemudian mengemukakan usul untuk memecat beliau. Tanpa sokongan para anggota puak Encik Han, usul pemecatan yang diketuai pembangkang itu tidak akan dapat diluluskan Dewan Negara kerana pembangkang kekurangan lapan undi untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Pemerhati sebelum ini meramalkan bahawa pencalonan Encik Han mungkin membantu parti itu menarik undi golongan sederhana dan pengundi yang masih belum membuat keputusan. Mereka membentuk sekitar 30 hingga 40 peratus pengundi di Korea Selatan, yang tidak berkenan dengan perpecahan politik yang ketara dan menolak kedua-dua Encik Yoon dan Encik Lee.
Encik Lee dilihat sebagai calon pilihan utama untuk memenangi pilihan raya itu, tetapi beliau berdepan lima perbicaraan jenayah berkaitan rasuah dan tuduhan lain. Sekiranya Encik Lee dipilih sebagai presiden, perbicaraan itu kemungkinan besar akan dihentikan kerana sebagai presiden, beliau diberi kekebalan daripada kebanyakan pendakwaan jenayah.
Kempen Encik Lee terjejas susulan keputusan Mahkamah Agung baru-baru ini yang memerintahkan agar beliau dibicarakan semula bagi pertuduhan yang melibatkan undang-undang pilihan raya. Masih belum jelas sama ada mahkamah akan menjatuhkan hukuman ke atasnya, yang boleh memaksa beliau menggantung kempennya sebelum pengundian pada 3 Jun. Namun, beliau dijangka berdepan dengan tekanan politik yang hebat daripada pencabar-pencabarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.