Kim, Moon bertemu di sidang puncak bersejarah Korea
Pemimpin Korea Utara dan Selatan akhirnya bertemu secara bersemuka hari ini (27 Apr) di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara dalam satu sidang puncak bersejarah, iaitu pertemuan peringkat tertinggi dalam usaha diplomatik nuklear mereka.

(Gambar: Host Broadcaster melalui REUTERS TV)
SEOUL: Pemimpin Korea Utara dan Selatan akhirnya bertemu secara bersemuka hari ini (27 Apr) di Zon Bebas Tentera yang memisahkan kedua-dua negara dalam satu sidang puncak bersejarah, iaitu pertemuan peringkat tertinggi dalam usaha diplomatik nuklear mereka.
Pertemuan di bahagian selatan kampung keamanan Panmunjom - adalah yang ketiga seumpamanya sejak akhir Perang Korea pada 1950-1953 - bertujuan untuk merintis jalan kepada pertemuan di antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Encik Moon menyambut ketibaan Encik Kim di blok konkrit yang menandakan sempadan di antara kedua-dua Korea di Zon Bebas Tentera untuk memulakan upacara yang cukup bersejarah dan penuh simbolik itu. Sebaik melangkah garisan itu, Encik Kim menjadi pemimpin Korea Utara yang pertama menjejakkan kaki di Korea Selatan sejak Perang Korea berakhir 65 tahun lalu.
"Saya sangat gembira dapat bertemu dengan anda," kata Encik Moon kepada Encik Kim. Encik Moon juga sempat menjejakkan kaki ke tanah Korea Utara sebelum berjalan kembali (ke Zon Bebas Tentera).
Menurut agensi media tempatan, Encik Kim akan "membincangkan secara terbuka tentang isu-isu yang timbul dalam meningkatkan hubungan antara Korea Utara dengan Selatan bagi mencapai keamanan, kemakmuran dan penyatuan semula Semenanjung Korea".
Helikopter-helikopter kelihatan di udara ketika Presiden Korea Selatan Moon Jae-in meninggalkan pejabatnya di Rumah Biru diiringi dengan konvoi kenderaan sambil diraikan penduduk yang menunggu di sepanjang jalan sambil mengibarkan bendera Korea.
Encik Moon juga sempat menyapa para penyokongnya dan melahirkan rasa terima kasih kepada para pegawai polis.
Program nuklear Korea Utara akan menjadi agenda utama sidang puncak tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.