Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kim Jong Un gulung lawatan seminggu ke Rusia; diberi dron, jaket kalis peluru

Anggaran Waktu Membaca:
Kim Jong Un gulung lawatan seminggu ke Rusia; diberi dron, jaket kalis peluru

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un (kiri) dan pemimpin Rusia Vladimir Putin. (Gambar: AFP/KCNA VIA KNS/STR)

MOSKO: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un telah berangkat dari Rusia pada Ahad (17 Sep), sekali gus menamatkan lawatannya selama seminggu itu bagi mengesahkan lagi hubungan rapat yang terjalin dengan Vladimir Putin.

Lawatan tersebut juga meningkatkan kekhuatiran dalam kalangan negara-negara Barat tentang kemungkinan Pyongyang menyediakan Mosko dengan bekalan senjata bagi serangannya ke atas Ukraine.

Lawatan Encik Kim yang dilanjutkan di wilayah paling timur Rusia, memberi tumpuan secara meluas kepada hal ehwal ketenteraan, dengan rombongan Encik Kim terdiri daripada para pegawai.

Lawatan berkenaan, yang bermula pada Selasa lalu, juga menyaksikan pertukaran simbolik senapang dengan Encik Putin serta lawatan ke sebuah kilang jet pejuang di Komsomolsk-on-Amur.

Sebelum berangkat, agensi berita Rusia, TASS, menyatakan Encik Kim telah diberikan lima dron letupan, sebuah dron peninjau dan jaket kalis peluru sebagai hadiah daripada gabenor serantau.

Agensi berita Rusia itu menambah bahawa "pemimpin DPRK itu menerima lima dron kamikaze dan dron peninjau 'Geran-25' yang berlepas secara menegak", menggunakan nama rasmi Korea Utara.

TASS juga menyatakan gabenor daerah Primorye itu, yang bersempadan dengan China dan Korea Utara, juga "menawarkan Kim Jong Un sebuah set perlindungan kalis peluru" dan "pakaian khas yang tidak dapat dikesan oleh kamera haba".

Pada lewat Ahad, agensi Ria Novosti menerbitkan sebuah video yang memaparkan keberangkatan Encik Kim, sambil menjelaskan bahawa sebuah "acara keberangkatan" diadakan di stesen Artyom-Primorsky-1 itu.

Rusia dan Korea Utara, yang merupakan rakan sekutu bersejarah, sedang dikenakan sebilangan sekatan dari merata dunia - Mosko disebabkan serangannya ke atas Ukraine dan Pyongyang akibat ujian nuklearnya.

Lawatan rasmi pertama ke luar negara bagi pemimpin Korea Utara itu sejak pandemik COVID-19 melanda bagaimanapun meningkatkan lagi kekhuatiran negara-negara Barat bahawa Mosko dan Pyongyang akan bertindak menentang sekatan dan memeterai perjanjian bekalan senjata.
Sumber : AFP/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan