Skip to main content

Dunia

Kim Jong Un dedah Korea Utara akan bangunkan langkah tentera tambahan

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata Pyongyang sudah memperuntukkan aset strategiknya untuk bertindak balas kepada peningkatan kehadiran tentera Amerika di Korea Selatan dan berikrar untuk membangunkan langkah-langkah ketenteraan tambahan, lapor media rasmi KCNA pada Ahad (5 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kim Jong Un dedah Korea Utara akan bangunkan langkah tentera tambahan

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, berucap semasa mesyuarat Perhimpunan Agung Tertinggi di Dewan Perhimpunan Mansudae di Pyongyang, Korea Utara, dalam gambar yang dikeluarkan pada 22 September 2025 oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA). (Gambar fail: KCNA melalui REUTERS)

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata Pyongyang sudah memperuntukkan aset strategiknya untuk bertindak balas kepada peningkatan kehadiran tentera Amerika di Korea Selatan dan berikrar untuk membangunkan langkah-langkah ketenteraan tambahan, lapor media rasmi KCNA pada Ahad (5 Okt).

“Seiring dengan peningkatan kehadiran tentera Amerika Syarikat di Korea, kepentingan strategik kami di rantau ini turut meningkat, dan kami sudah pun memperuntukkan aset-aset khas sewajarnya kepada sasaran kepentingan utama,” kata Encik Kim di satu pameran ketenteraan menjelang ulang tahun ke-80 penubuhan Parti Pekerja Korea.

“Saya percaya musuh-musuh kita seharusnya bimbang tentang arah perkembangan sekitaran keselamatan mereka,” tambahnya.

Beliau menegaskan Korea Utara “sudah pasti akan membangunkan langkah ketenteraan tambahan” sebagai persediaan untuk menghadapi peningkatan kehadiran tentera Amerika Syarikat, tanpa mengulas lanjut.

Korea Utara sebelum ini dilaporkan memperkukuh hubungan ketenteraan dengan Rusia dan menyokong peperangan Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Ukraine dengan mengerahkan anggota tenteranya dan meriam, menurut pegawai Korea Selatan.

Encik Kim juga dilihat menjalin hubungan lebih rapat dengan China dan baru-baru ini melakukan lawatan ke Beijing bagi menghadiri perarakan ketenteraan sempena ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua, bersama pemimpin China, Xi Jinping, dan Presiden Putin.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita