Skip to main content

Dunia

Kim Jong Un arah limbungan kapal Korea Utara dimodenkan, tinjau pembinaan kapal perang baharu

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un meninjau pembinaan sebuah kapal perang baharu yang dipercayai jauh lebih besar daripada kapal pemusnah sedia ada, sambil mengarahkan pemodenan limbungan kapal bagi memperkukuh keupayaan angkatan laut negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kim Jong Un arah limbungan kapal Korea Utara dimodenkan, tinjau pembinaan kapal perang baharu

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un meninjau Limbungan Kapal Nampho di Korea Utara pada Isnin (2 Nov 2026), dalam gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA). (Gambar: REUTERS menerusi KCNA)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 03:09PM
Kim Jong Un orders North Korean shipyard to be modernised, inspects construction of new warship
  • Kim Jong Un visited Nampho Shipyard on North Korea’s west coast on Nov 2 to inspect a new warship, KCNA reported on Nov 4.
  • He called for the shipyard to be expanded and its operations accelerated to advance the maritime industry and strengthen the country’s maritime defence.
  • The Korea Defense and Security Forum assessed that the vessel could be a 10,000-tonne cruiser capable of carrying many cruise missiles, but its type and weapons have not been confirmed.
  • The move follows a five-year plan to build two surface warships a year, the expansion of Nampho, construction of a third Choe Hyon-class destroyer and sea-based missile tests.
Dijana oleh AI

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un meninjau pembinaan sebuah kapal perang baharu yang dipercayai jauh lebih besar daripada kapal pemusnah sedia ada, sambil mengarahkan pemodenan limbungan kapal bagi memperkukuh keupayaan angkatan laut negara itu.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan pada Rabu (4 Nov) bahawa Encik Kim melakukan lawatan pemeriksaan ke Limbungan Kapal Nampho di pantai barat Korea Utara pada Isnin (2 Nov).

Dalam lawatan itu, beliau menekankan pentingnya memperluas keupayaan limbungan kapal sedia ada dan meningkatkan kadar operasinya bagi membangunkan industri maritim negara tersebut.

Langkah itu bertujuan memperkukuh keupayaan Korea Utara mempertahankan sempadan perairannya.

KCNA menyatakan Encik Kim turut meninjau pembinaan sebuah kapal perang baharu yang disifatkan jauh lebih besar berbanding kapal pemusnah yang dibina tahun lalu.

KAPAL PERANG BAHARU DIPERCAYAI SEBERAT 10,000 TAN

Gambar yang dikeluarkan KCNA menunjukkan Encik Kim bersama beberapa pegawainya memeriksa bahagian bawah badan kapal yang sedang dibina.

Kapal tersebut disokong oleh struktur penyangga besar yang lebih tinggi daripada pegawai yang berada di lokasi berkenaan.

Menurut analisis badan pemikir Korea Defense and Security Forum yang berpangkalan di Seoul, gambar itu dipercayai merupakan imej pertama yang diterbitkan mengenai pembinaan sebuah kapal penjelajah seberat 10,000 tan.

Badan pemikir itu turut menjangkakan kapal tersebut mampu membawa sejumlah besar peluru berpandu krus, sekali gus membolehkan Korea Utara melancarkan serangan terhadap sasaran di darat dari jarak lebih jauh.

Bagaimanapun, jenis kapal dan keupayaan persenjataannya masih berdasarkan penilaian badan pemikir tersebut.

KOREA UTARA PERKUKUH KEUPAYAAN ANGKATAN LAUT

Korea Utara kini sedang membina kapal pemusnah ketiga kelas Choe Hyon di bawah rancangan pembangunan pertahanan 5 tahun yang diperkenalkan Encik Kim.

Rancangan itu menyasarkan pembinaan 2 kapal perang permukaan setiap tahun.

Limbungan Kapal Nampho merupakan antara kemudahan utama pembinaan kapal tentera laut Korea Utara.

Sebuah kapal pemusnah sudah dibina di limbungan tersebut, manakala imej satelit yang diterbitkan pada Oktober lalu menunjukkan kemudahan itu sedang menjalani peluasan besar-besaran.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Korea Utara turut meningkatkan usaha membangunkan keupayaan peluru berpandu angkatan lautnya, termasuk menjalankan ujian peluru berpandu antikapal.

Pada Julai lalu, Encik Kim menyaksikan ujian pelancaran peluru berpandu strategik serta penilaian sistem antikapal di sebuah kapal pemusnah.

Pada April pula, Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu antikapal bagi menilai keberkesanan keupayaan tempur kapal pemusnahnya.

Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita