Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kiayi sebut nama Prabowo ketika berdoa untuk Jokowi

Menjelang Pilihan Raya Umum Presiden Indonesia, sempat kecoh di wadah Internet tentang seorang kiayi yang tersalah menyebut nama calon dalam doanya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kiayi sebut nama Prabowo ketika berdoa untuk Jokowi

Tokoh Nahdlatul Ulama (NU) Kiayi Haji Maimun Zubair tersalah sebut nama semasa memanjatkan doa. (Gambar: Merdeka.com)

Diterbitkan : 05 Feb 2019 10:42PM Dikemas Kini : 05 Feb 2019 10:56PM

REMBANG: Menjelang Pilihan Raya Umum Presiden Indonesia, sempat kecoh di wadah Internet tentang seorang kiayi yang tersalah menyebut nama calon dalam doanya. Beliau, yang merupakan seorang ulama dan politikus berusia 90 tahun, sepatutnya mendoakan untuk Presiden Jokowi, tetapi nama pesaingnya, Prabowo, yang disebutkan dalam doa itu.

Menurut Tribunnews, insiden berlaku ketika Presiden Jokowi berkunjung ke sebuah pesantren di daerah Rembang, Jawa Tengah pada Jumaat (1 Feb). Semasa memanjatkan doa bagi presiden Indonesia itu, tokoh Nahdlatul Ulama (NU), Kiayi Haji Maimun Zubair tersalah sebut. Beliau menyebut nama Encik Prabowo Subianto, sedangkan Encik Jokowi yang berada di sebelahnya dan mengangkat tangan berdoa.

Insiden itu dirakam dan menjadi tular di media sosial. Ini sekaligus mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi daripada para netizen. Khabar angin bahawa kononnya anggota NU itu menyokong Encik Prabowo juga bertiup kencang.

NU sebenarnya menyokong Presiden Jokowi dalam pilihan raya tahun ini.

Namun, sesetengah golongan ulama mengatakan bahawa insiden itu murni satu kesilapan dan mereka yakin, Kiayi Haji Maimun Zubair benar-benar menyokong Encik Jokowi.

"Allah tahu beliau memang benar-benar menyokong Jokowi. Meskipun, yang diucapkan adalah nama Prabowo, Allah tahu apa yang ada dalam hatinya. Doa dalam hatinya itu yang akan dikabulkan," kata Ketua Umum gerakan Ikhwanul Muballighinini, Kiayi Haji Mujib Khudori.

Kejadian itu membuatkan sesetengah pihak yang menyokong Encik Prabowo menyatakan bahawa ia menjadi petanda bahawa Allah merestui pesaing Presiden Jokowi itu.

"Yang memiliki hati itu Allah. Jadi doa yang disampaikan digerakkan oleh Allah dan itu pertanda Insyaallah Pak Prabowo dibantu Allah (swt). Kerana itu 2019 ganti presiden," kata anggota Parti Keadilan Sejahtera, Mardani Ali Sera, kepada CNNIndonesia.com, Sabtu (2/2).

Namun demikian, anak Kiayi Haji Maimun Zubair, Encik Majid Kamil, turut mengulas tentang insiden yang menjadi 'viral' itu sambil mengatakan bahawa ayahnya tidak sengaja melakukan kesilapan itu.

Encik Majid Kamil juga menolak khabar bahawa kertas yang dibaca Kiayi Haji Maimun Zubair dari awal lagi sudah tertulis nama Prabowo. Beliau bagaimanapun memberitahu Tribunnews bahawa kertas itu sememangnya terkandung doa yang ingin dipanjatkan bagi pihak lain sebelum ini.

Dalam pada itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) meminta semua pihak supaya mengakhiri polemik insiden itu.

"Polemik jangan dibiarkan berlarutan. Dalam ajaran Islam, mendoakan pemimpin itu bukan bertujuan untuk memecahbelahkan umat. Sebaliknya supaya umat kekal bersatu," kata Ketua Bidang Infokom MUI, Kiayi Haji Masduki Baidlowi kepada media tempatan.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan