Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khidmat Microsoft dipulihkan, langkah-langkah penstabilan diambil

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat Microsoft dipulihkan, langkah-langkah penstabilan diambil

(Gambar fail: Josep LAGO / AFP)

MOSKO: Syarikat Amerika Syarikat (AS) Microsoft pada Jumaat (19 Jul) menyatakan bahawa perkhidmatannya sedang dipulihkan menyusuli kegagalan teknikal dan langkah-langkah penstabilan terus diambil.

"Banyak perkhidmatan kelihatan mengalami peningkatan ketersediaan, seiring dengan kemajuan proses tindakan mitigasi kami," menurut syarikat itu dalam catatan di laman media sosial X.

Gangguan tersebut menjejas lapangan terbang di seluruh dunia, termasuk di Washington, Berlin, Zurich dan New Delhi.

Ia turut menyebabkan gangguan di Lapangan Terbang Kingsford Smith Di Sydney, menurut laporan portal berita WA, yang menambah bahawa syarikat penerbangan tempatan Virgin Australia terpaksa menangguhkan kesemua penerbangannya.

Pendaftaran online turut terganggu di Lapangan Terbang Antarbangsa Hong Kong, sementara penerbangan keluar dan menuju ke Hong Kong masih berlangsung tanpa pembatalan atau penangguhan, menurut laporan South China Morning Post.

Surat kabar itu juga menyatakan bahawa pentadbiran lapangan terbang mengaktifkan mekanisme respons darurat dan memulakan pendaftaran masuk secara manual.

Di Korea Selatan, gangguan itu memberi kesan kepada kesemua khidmat komputer yang menggunakan khidmat Microsoft Windows, menurut laporan surat khabar tempatan Money Today.

Gangguan tersebut berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 11.00pagi waktu GMT, menurut laporan tersebut.

Sky News pula, salah satu penyiar utama di Britain, gagal ke udara pada Jumaat pagi (19 Jul), menurut Ketua Eksekutif Sky News Group, David Rhodes.

"Banyak laporan berita kami masih tersedia online, dan kami bekerja keras untuk memulihkan semua perkhidmatan," kata Rhodes menerusi catatan di X. Beliau turut menambah bahawa siaran "kembali tersiar di TV tanpa keupayaan penuh" sekitar sejam kemudian.

Server di kemudahan negara di seluruh Israel turut terganggu pada awal Jumaat, menurut penyiar Keshet 12, menambah bahawa antara kemudahan yang terjejas adalah hospital, khidmat pos, kemudahan elektrik, perkhidmatan kecemasan, serta banyak bangunan kementerian.

Operasi bank-bank Israel juga terhenti disebabkan gangguan teknikal, lapor Ynet.

Pusat Perubatan Universiti Schleswig-Holstein (UKSH) Jerman mengumumkan bahawa sistem sibernya turut terjejas akibat gangguan itu, yang mengganggu operasi di hospitalnya di bandar Kiel dan Lubeck.

"(Disebabkan kegagalan sistem), UKSH membatalkan semua prosedur yang dijadualkan pada hari ini, Jumaat, 19 Julai 2024. Klinik pesakit luar di kedua-dua pusat juga ditutup," menurut kemudahan perubatan itu dalam satu kenyataan.

Operasi di terminal kontena Baltic Hub di bandar Poland Gdansk juga terganggu awal Jumaat, menurut terminal itu dalam satu kenyataan.

"Di Baltic Hub, kami sedang bergelut dengan gangguan global sistem pengendalian Microsoft, yang menghalang fungsi terminal. Tolong jangan belayar ke terminal," menurut kenyataan itu.

Gangguan komunikasi besar-besaran menghalang penduduk di bandar Firebanks, Alaska, daripada menghubungi perkhidmatan kecemasan, lapor laman berita Pusat Berita Fairbanks.

Laman ini menasihati penduduk agar menggunakan e-mel untuk menghubungi perkhidmatan penghantaran.

Gangguan global semua teknologi menggunakan Microsoft Windows bermula pagi Jumaat.

Berikutan gangguan siber itu, saluran berita Verge melaporkan bahawa ia disebabkan oleh kemas kini yang rosak daripada syarikat keselamatan siber CrowdStrike, yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Kemas kini mematikan server dan komputer, memaksa mereka untuk dihidupkan semula secara berterusan, dan tidak membenarkan perkhidmatan teknologi dimulakan dengan betul.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan