Khidmat komunikasi di Gaza disekat sedang Israel terus geledah Hospital Al-Shifa

(Gambar: AFP/IDF)
CARIKAN GAZA: Tentera Israel terus menggeledah setiap bangunan dan tingkat Hospital Al-Shifa sedang khidmat internet dan telefon terus terputus di merata Carikan Gaza pada Jumaat (17 Nov) sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap nasib rakyat Palestin yang terperangkap di dalam kemudahan itu.
Hospital Al Shifa telah menjadi tumpuan bagi operasi Israel di utara Gaza sejak tentera menyerbu kompleks itu pada Rabu, memburu pusat arahan yang mereka dakwa di mana Hamas beroperasi.
Hamas dan pengurus hospital menafikan tuduhan itu, dan terdapat kebimbangan antarabangsa mengenai nasib beberapa ribu orang - termasuk pesakit yang cedera dan bayi tidak cukup bulan yang dipercayai terperangkap di dalam bangunan.
Disebababkan kehabisan bekalan bahan api, gangguan terbaharu terhadap khidmat komunikasi mungkin berlarutan untuk satu tempoh yang panjang, dedah syarikat penyedia internet utama Palestin.
Israel memberi isyarat mengenai serangan seterusnya ke atas Hamas di selatan, di mana kebanyakan rakyat Palestin berlindung.
Tentera Israel berada di hospital Al-Shifa buat hari kedua untuk memburu Hamas, namun gagal menemui kumpulan tersebut.
Sekatan komunikasi besar-besaran itu menjejas 2.3 juta penduduk Gaza dan menghalang mereka daripada menghubungi antara satu sama lain dan dunia luar. Ini sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di selatan Gaza, sedang Israel meneruskan serangan udaranya.
Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran terhadap "kemungkinan berlakunya kebuluran" di Gaza. Bekalan makanan yang dikawal Israel sudah disekat dan bekalan dari Mesir terlalu sedikit.
TENTERA ISRAEL SASAR SELATAN CARIKAN GAZA
Tentera Israel menyataka ia sudah menawan utara Carikan Gaza, meskipun pertempuran berterusan.
Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata pada Rabu (15 Nov) bahawa serangan darat akan melibatkan "kedua-dua utara dan selatan. Kami akan menyerang Hamas di mana mereka berada."
Beliau tidak memberi sebarang jangka masa.
Kebanyakan penduduk Gaza sedang menetap di selatan Gaza yang kini sudah sesak, termasuk ratusan ribu penduduk yang mematuhi arahan Israel untuk berpindah dari utara, sedang serangan darat dijalankan.
Kira-kira 1.5 juta penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka dan menetap di kemudahan perlindungan PBB atau rumah anggota keluarga lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.