Khidmat kereta api Thailand-Kemboja sedia disambung semula selepas 40 tahun
Perkhidmatan kereta api antara Thailand dengan Kemboja bakal disambung setelah terhenti lebih 40 tahun kerana konflik dalaman.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen (kiri) dan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha di majlis yang menghubungkan landasan kereta api antara kedua-dua negara di wilayah Banteay Meanchey pada 22 April 2019. (Gambar: El VATANAK/AFP)
BANGKOK: Perkhidmatan kereta api antara Thailand dengan Kemboja bakal disambung setelah terhenti lebih 40 tahun kerana konflik dalaman.
Pagi tadi (22 Apr), Perdana Menteri kedua-dua negara, Prayut Chan-o-cha dan Hun Sen, membuka semula landasan kereta api yang menghubungkan daerah Aranyaprathet di Thailand dengan bandar Poipet di Kemboja.
Perkhidmatan kereta api antara kedua-dua negara terganggu sejak 45 tahun lalu kerana perang serta pemerintahan Khmer Rouge di Kemboja.
Banyak landasan kereta api antara kawasan sempadan Thailand dengan Phnom Penh, ibu kota Kemboja mengalami kerosakan.
Selepas perang berakhir, pemerintah Phnom Penh terus berusaha memperbaiki landasan kereta api sepanjang 385 kilometer itu, sebahagiannya menerusi pembiayaan dari Bank Pembangunan Asia.
Buat masa ini perkhidmatan kereta api belum dapat dipulihkan seperti biasa kerana kedua-dua negara masih perlu memperhalusi beberapa perkara seperti jadual perjalanan kereta api.
Sungguhpun begitu Thailand dan Kemboja yakin perkhidmatan itu dapat disambung menjelang akhir tahun ini.
Secara berasingan, pembinaan jambatan persahabatan antara Thailand dengan Kemboja sedang dilakukan.
Apabila siap pada tahun 2022, jambatan itu akan menjadi satu lagi laluan bagi kiriman barangan dan orang ramai antara kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.