Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khidmat 5G akan diberi keutamaan di Melaka, tegas Annuar Musa

Melaka akan diberikan keutamaan bagi perkhidmatan 5G memandangkan negeri berkenaan adalah negeri pelancongan serta mempunyai banyak pelabur luar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Annuar Musa.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat 5G akan diberi keutamaan di Melaka, tegas Annuar Musa

Annuar Musa. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 14 Nov 2021 05:40PM Dikemas Kini : 14 Nov 2021 05:41PM

MELAKA: Melaka akan diberikan keutamaan bagi perkhidmatan 5G memandangkan negeri berkenaan adalah negeri pelancongan serta mempunyai banyak pelabur luar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Annuar Musa.

Beliau berkata sebelum perkhidmatan 5G dilancarkan, Melaka terlebih dahulu akan diperkasakan dan dilengkapkan dengan perkhidmatan 4G menerusi program ‘Point of Presence (PoP) Fiberisation’ yang diberikan keutamaan yang tinggi.

“Saya fikir Melaka harus menjadi kawasan keutamaan pertama dari segi melengkapkan 4G di Melaka. Program ‘PoP Fiberisation’ mesti diberikan keutamaan yang tinggi dan pada masa ini, di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA), seluruh Melaka kena tambah 35 lagi menara.

“Sekiranya ada di kawasan tertentu yang memerlukan menara tambahan saya akan berikan keutamaan kerana Melaka adalah negeri pelancongan, negeri yang banyak pelabur luar yang melabur di kilang-kilang dan perusahaan.

“Di Melaka juga ada kemudahan prasarana termasuk pelabuhan dan juga lapangan terbang... ini bermakna Melaka memerlukan 5G,” katanya hari ini (14 Nov).

Encik Annuar berkata bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna, ‘PoP Fiberisation’ untuk sekolah dan industri serta lima kilometer di sekitarnya juga diharap dapat dipercepatkan pelaksanaan penukaran daripada sistem ‘copper’ kepada sistem gentian optik.

Bagi meningkatkan perkhidmatan capaian internet di Melaka ketika ini, Encik Annuar yang mengadakan lawatan secara rawak di beberapa tempat, sebelum ini meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi (telco) untuk memasang ‘booster’ di banyak lokasi berikutan penggunaan semasa yang tinggi.

“Jadi kita perlu melihat kepada penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Untuk jangka pendek, saya minta kerjasama SKMM dan telco untuk memasang ‘booster’ seberapa banyak di Melaka sebab calon-calon semua bergantung kepada kempen secara dalam talian.

“Untuk memudahkan itu, saya harap dapat kerjasama dari semua telco dan juga SKMM memasang ‘booster’ di seberapa banyak tempat supaya kualiti internet dapat ditingkatkan,” katanya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan