Khemah moden 2 tingkat di Mina sambut ketibaan jemaah haji
Syarikat binaan Kidana, pemaju utama di kawasan Tanah Suci melancarkan projek khemah dua tingkat di Mina, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Projek khemah dua tingkat di Mina. (Gambar: SPA)
Inisiatif itu menandakan satu transformasi besar dalam penyediaan tempat penginapan jemaah haji di Mina, dengan menawarkan kemudahan moden yang menjamin keselesaan serta suasana persekitaran kondusif melalui penyelesaian kekal dan kecekapan operasi berkualiti tinggi.
Kidana mengesahkan bahawa projek khemah dua tingkat itu dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta, yang menyumbang 75 peratus daripada keseluruhan projek.
Projek itu meliputi kawasan penginapan melebihi 20,000 meter persegi, merangkumi lebih 40 bangunan dan dilengkapi dengan 550 bilik air.
Pembinaannya mengambil masa kira-kira 100 hari untuk disiapkan.
Ia dijangka dapat menampung sekitar 8,000 jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi.
Usaha itu bertujuan memperkayakan pengalaman jemaah, meningkatkan kapasiti serta mutu perkhidmatan penginapan di Mina, di samping memastikan persekitaran kediaman yang selesa dan selamat menerusi rekaan kejuruteraan moden yang menggabungkan kualiti dan kemampanan, tanpa mengabaikan keunikan kawasan terbabit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.