Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khairy Jamaluddin umum jadi ahli UMNO Sungai Buloh

Anggaran Waktu Membaca:
SHAH ALAM: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa beliau kini sudah menjadi ahli UMNO bagi bahagian Sungai Buloh iaitu kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Demikian menurut laporan Sinar Harian pada Ahad (25 Dis).

Encik Khairy yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu memaklumkan mengenai perkara tersebut dalam satu video pendek di akaun TikTok Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh semalam ketika satu majlis di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saujana Utama, Sungai Buloh.

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan itu berkata, keputusan berpindah itu diambil kerana mahu menyelesaikan urusan yang tertangguh dan menjadikan kawasan itu sebagai kubu buat BN.

“Saya tidak suka tinggalkan sesuatu yang tidak sampai kesudahannya, sebab saya memang yang macam itulah, agak ‘perfectionist’ sikit. Kalau dah kalah itu mesti buat sampai menang.

“Saya tidak suka tinggalkan begitu sahaja dan saya rasa tidak adil kepada tuan-tuan dan puan-puan.

"Saya datang ke sini sebagai calon bidan terjun berprofil tinggi, bila tidak menang lepas itu terus cabut cari tempat lain,” katanya, menurut Sinar Harian.

Pada PRU lalu, Encik Khairy yang memperoleh 48,250 undi dalam perebutan kerusi Parlimen Sungai Buloh tewas dengan perbezaan majoriti tipis hanya 2,693 undi di tangan calon Pakatan Harapan (PH), R Ramanan (PKR) yang meraih 50,943.

Beliau yang merupakan bekas ahli Parlimen Rembau itu meninggalkan kerusi disandangnya selama tiga penggal bermula pada tahun 2008 bagi bertanding di Sungai Buloh pada PRU14 kali ini untuk memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan.

Dalam pada itu, Encik Khairy berkata, keputusan untuk berhijrah di bahagian tersebut sudah dibincangkan terlebih dahulu dahulu dengan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Megat Firdouz Megat Junid dan pemimpin bahagian lain termasuk Harison Hassan.

“Soal pemilihan nanti kita bincang adik-beradik macam mana nak buat. Yang penting seperti mana saya sebut tadi, saya datang bukan hanya nak bertanding dan kalah terus hilangkan diri.

"Tidak, saya kekal di sini sehinggalah kita menang Parlimen Sungai Buloh,” katanya, lapor Sinar Harian.

Parlimen Sungai Buloh yang mula diwujudkan pada tahun 2018 itu dimenangi oleh oleh calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah pada PRU14 dengan majoriti 43,631 undi.

Secara tradisinya, kawasan tersebut yang sebelum ini berada di bawah Parlimen Subang itu ditandingi oleh wakil daripada MIC iaitu salah satu parti komponen BN.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan