Khairy Jamaluddin tampil dalam video Upin Ipin, promosi vaksinasi kanak-kanak
Tangkap Layar Skrin: Youtube/ Les' Copaque Production
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, tampil sebagai karikatur dalam video animasi singkat bersama Duta Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids), Upin Ipin, lapor BH Online.
Video selama 30 saat itu menunjukkan watak animasi kanak-kanak popular Malaysia, Upin dan Ipin, hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menerima suntikan vaksin COVID-19.
Kelihatan kedua-dua kanak-kanak itu ditemani waris iaitu nenek dan kakak mereka.
Setakat kira-kira jam 4.00 petang pada Khamis (3 Mac), video yang disiarkan menerusi wadah Youtube itu sudah meraih lebih 95,000 tontonan, lapor BH Online.
Dalam video tersebut, Upin dan Ipin, yang juga pasangan adik-beradik kembar, menitipkan nasihat kepada semua supaya mengambil suntikan vaksinasi COVID-19 untuk melindungi diri daripada jangkitan virus pandemik itu.
"Tak sakit pun. Kawan-kawan, jom ambil vaksin PICKids sekarang untuk keselamatan daripada COVID-19," kata mereka berdua.
Dalam video animasi itu, Encik Khairy, yang mengenakan baju berlengan panjang berwarna biru, sempat mengucapkan syabas kepada kembar itu kerana tampil menerima suntikan vaksinasi.
"Syabas. Lindungi diri, lindungi kanak-kanak, lindungi semua," kata beliau bersemangat.
Ucapan Khairy itu disambut 'betul, betul, betul' yang menjadi slogan sinonim dengan animasi Upin Ipin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.