Skip to main content

Dunia

Khairy Jamaluddin sedia kembali ke pangkuan UMNO

Anggaran Waktu Membaca:
Khairy Jamaluddin sedia kembali ke pangkuan UMNO
Encik Khairy Jamaluddin hadir untuk Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada 15 Januari 2026. (Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 07 Mar 2026 01:45PM Dikemas Kini : 07 Mar 2026 01:46PM
KUALA LUMPUR: Mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menyatakan secara terbuka hasrat untuk kembali menyertai UMNO melalui inisiatif Agenda Rumah Bangsa.

Menurut Encik Khairy, keputusan itu dibuat selepas Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan pelaksanaan agenda berkenaan, yang disifatkannya sebagai perkembangan positif dalam usaha penyatuan parti, lapor Astro Awani.

Dalam episod ke-191 siri audio Keluar Sekejap yang dikongsikan di Facebook pada Jumaat (7 Mac), Encik Khairy berpendapat, pelawaan itu sebagai ruang terbaik untuk kembali semula ke dalam UMNO.

“Kenyataan yang dibuat oleh Encik Zahid juga berkaitan dengan kita. Mungkin Shahril ada pendiriannya sendiri, saya pula ada pendirian saya.

"Saya sudah lama menyatakan hasrat untuk kembali kepada UMNO, dan saya melihat ini sebagai perkembangan positif serta peluang murni bagi diri saya,” katanya, seperti dipetik Astro Awani.

Dalam satu video berasingan yang turut dimuat naik di platform sama, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, mengucapkan penghargaan terhadap isyarat penyatuan yang ditunjukkan Presiden UMNO itu.

Namun Encik Shahril mengakui beliau lebih selesa berada di luar gelanggang politik ketika ini, walaupun tidak menutup pintu untuk kembali pada masa hadapan.

Awal dari itu, Ahmad Zahid menyatakan Jawatankuasa Rumah Bangsa, yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin, akan menyelaras semua proses permohonan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan UMNO.

Beliau turut berharap usaha itu dapat dipermudahkan dan menjadi titik penyatuan bagi mengukuhkan semula parti dalam meneruskan agenda perjuangan.
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita