Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khairy Jamaluddin bertegas sedia memimpin UMNO, jadi PM M'sia satu hari kelak

Anggaran Waktu Membaca:
Khairy Jamaluddin bertegas sedia memimpin UMNO, jadi PM M'sia satu hari kelak

Gambar: Twitter/Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, bertegas beliau sedia memimpin UMNO dan menjadi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti.

Namun, bagi merealisasikan perkara itu, Encik Khairy mahu pengundi di Parlimen tersebut terlebih dahulu menyokong dan memastikan kemenangannya di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia, menurut laporan Astro AWANI.

"Saya datang ke Sungai Buloh bukan untuk bunuh diri. Ini bukan misi kamikaze. Saya garap di sini sebab bagi saya, kalau saya menang di sini atau kalau orang Sungai Buloh menangkan saya di P107 ini, saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti kita pimpin negara kita... InsyaAllah.

"Orang Sungai Buloh sokong saya hari ini, Insyaallah dengan takdir Allah dan sokongan rakan-rakan, suatu hari nanti saya akan memimpin UMNO dan saya akan menjadi Perdana Menteri anda semua untuk kita bangunkan negara ini," katanya semasa Ceramah Kata Janji KJ di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh pada Selasa (8 Nov).

Encik Khairy menambah selama ini beliau tidak pernah seberani itu untuk menyatakan ketegasan berkenaan.

Menurut Encik Khairy lagi, pada usianya 46 tahun, beliau masih boleh menunggu Encik Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia terlebih dahulu, lapor Astro AWANI.

"Namun, saya kena menang di sini dulu dan tidak pernah saya cakap tetapi saya nak cakap juga, tetapi bukan sekaranglah. Sekarang kita nak Ismail Sabri jadi Perdana Menteri Malaysia.

"Saya berumur 46 tahun boleh tunggu lagi. Tetapi, jangan lama sangatlah," ujarnya.

Ujarnya, seorang pemimpin perlu keluar dari zon selesa.

Jelas beliau, jika asyik takut dan duduk di kawasan selamat, seorang pemimpin itu tidak akan mampu menjadi pemimpin yang boleh bawa negara ke peringkat lebih tinggi.

"Saya datang ke kandang naga, (dengan) 26,000 majoriti. Saya menang kerusi untuk parti, saya mahu memimpin parti dan saya mahu memimpin negara saya," tambahnya.

Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Encik Khairy (BN), R. Ramanan (PH), Mohd. Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Mohd Yusof (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan