Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khairy Jamaluddin beri jaminan kerajaan M'sia haramkan ganja bagi tujuan rekreasi

Anggaran Waktu Membaca:

BANGKOK: Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin pada Rabu (24 Ogos) memberi jaminan kerajaan tidak akan membenarkan ganja digunakan untuk tujuan rekreasi di negara itu. 

Encik Khairy berada di Thailand untuk lawatan kerja empat hari bagi mengkaji amalan, kaedah penanaman, penyelidikan dan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

“Saya berada di Bangkok untuk memahami dengan lebih lanjut bukti klinikal dan rangka kerja kawal selia. 

“Jika bukti klinikal menunjukkan bahawa kanabis selamat dan mujarab untuk digunakan bagi tujuan perubatan, kami akan menyediakan rangka kerja pengawalseliaan dan garis panduan amalan klinikal.

"Jangan khuatir, penggunaan kanabis untuk tujuan rekreasi tidak akan dibenarkan," katanya menerusi catatan di Instagram pada Rabu (24 Ogos). 

Catatan itu turut memuat naik gambar Encik Khairy bersama Menteri Kesihatan Thailand Anutin Charnvirakul di sebuah pusat penyelidikan ganja. 

“Bersama rakan saya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul menunjukkan produk CBD Thailand. 

“Mereka telah membenarkan kanabis untuk tujuan perubatan,” kata Encik Khairy.

Pada awal Rabu (24 Ogos), Encik Khairy melawat Siam Cannabis Land di Pattaya dan beliau diberi taklimat serta melawat rumah hijau dan ladang penanaman terbuka yang menanam pelbagai jenis kanabis.

Projek bandar ganja seluas 350 ekar dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan produk kesihatan dan perkhidmatan perubatan yang komprehensif.

Pada 9 Jun, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand mengeluarkan kanabis yang mengandungi tidak melebihi 0.2 peratus tetrahydrocannabinol (THC) daripada senarai narkotik yang diharamkan.

Bagaimanapun, pemilikan kandungan yang diekstrak seperti minyak serta hidangan seperti makanan dan minuman mengandungi lebih daripada 0.2 peratus THC masih diharamkan di Thailand. 

THC adalah sebatian psikoaktif utama yang terdapat dalam ganja.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan