Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khairy Jamaluddin akan bertanding kerusi parlimen parti lawan

Anggaran Waktu Membaca:
SEREMBAN: Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin hari ini (21 Okt) memberi bayangan bahawa, beliau bakal bertanding di kerusi Parlimen yang kini disandang wakil parti bukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Meskipun kerusi itu belum dimuktamadkan dan masih dalam penilaian pucuk pimpinan BN, Encik Khairy bagaimanapun mengesahkan ia adalah kawasan yang dimenangi parti lawan sebelum ini.

“Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang dipegang oleh parti lawan dan hampir pasti tidak akan mendapat kerusi yang dianggap sebagai kerusi selamat,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban di Seremban hari ini (21 Okt).

Encik Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal, sebelum memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan untuk bertanding di kawasan itu.

Encik Mohamad dilaporkan memberi jaminan akan mencari tempat sesuai untuk Encik Khairy bertanding dalam PRU15 dan tidak akan membiarkan Menteri Kesihatan Malaysia itu 'hilang' begitu sahaja kerana beliau adalah pemimpin muda berkaliber.

Khairy berkata beliau sedia menerima cabaran dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan parti, sekali gus menawan kerusi berkenaan dalam PRU15.

Ditanya sama ada kerusi berkenaan adalah di Negeri Sembilan, Encik Khairy yang enggan mendedahkan perkara itu berkata : “Pelbagai negeri, masih belum ada keputusan akhir. Kita tunggu.”

“Kita semua kena main peranan untuk parti. Kalau semua pergi ke kawasan selamat dan kita tak akan dapat membawa agenda kita secara luas. Jadi kena ada juga yang sanggup pergi ke (kawasan) mungkin sebelum ini kita tidak menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan