Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khairy fail saman fitnah terhadap Lokman Noor Adam, Ustaz Abu Syafiq berhubung isu vaksin COVID-19

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Lokman Noor Adam dan Mohd Rasyiq Mohd Alwi, atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, berhubung vaksin COVID-19 yang dimuat naik ke media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Khairy fail saman fitnah terhadap Lokman Noor Adam, Ustaz Abu Syafiq berhubung isu vaksin COVID-19

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Feb 2022 02:56PM Dikemas Kini : 03 Feb 2022 03:02PM

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Lokman Noor Adam dan Mohd Rasyiq Mohd Alwi, atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, berhubung vaksin COVID-19 yang dimuat naik ke media sosial.

Encik Khairy, 46 tahun, selaku plaintif memfailkan dua saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menerusi Tetuan Rashid Zulkifli pada 25 Januari lalu, dengan menamakan Lokman, 49 tahun, dan Mohd Rasyiq, 41 tahun, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Encik Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi. Beliau mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar ke Facebook akaun ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lalu, dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di akaun Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari lalu.

Encik Khairy mendakwa Mohd Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktover tahun lalu, 6 dan 10 Januari lalu.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam dua saman itu membawa maksud antaranya, beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa beliau telahpun diberi vaksin COVID-19 dan menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadapnya, sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Plaintif juga mendakwa penerbitan fitnah itu adalah bertentangan dengan kepentingan awam dan ia mengganggu usaha serta semua yang terbabit dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan dalam perjuangan menentang COVID-19, menjejaskan tindak balas masyarakat terhadap pandemik dan menjejaskan data serta fakta rasmi yang diberikan oleh KKM kepada orang ramai.

Oleh itu, plaintif memohon satu perintah injunksi supaya kedua-dua defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta satu injunksi menghalang defendan daripada menerbitkan semula catatan itu.

Plaintif juga memohon defendan-defendan untuk memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita serta akaun media sosial dalam tempoh 24 jam. 

Plaintif turut menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk, faedah, permohonan maaf daripada defendan-defendan yang dimuat naik ke media sosial serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menerusi semakan sistem mahkamah, mahkamah menetapkan 17 Februari ini untuk pendengaran injunksi inter parte (dua pihak).

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan