Skip to main content

Dunia

Khairy bertegas Najib tidak diberi layanan istimewa

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Tiada layanan istimewa diberikan kepada Najib Razak yang kini dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Sebaliknya, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, layanan yang diberikan kepada bekas perdana menteri Malaysia itu mengikut prosedur standard kementerian untuk semua banduan yang memerlukan rawatan perubatan, lapor Astro AWANI.

Menurut Encik Khairy, sebelum ini, Encik Najib dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya serta menjalani beberapa ujian.
“Menyusuli itu, beliau dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras kerana rawatan susulannya memerlukan fisioterapi.

"Beliau akan diajar bagaimana untuk melakukan (fisioterapi) sendiri kerana beliau akan dibenarkan keluar sebaik sahaja pakar berpuas hati dengan keadaan kesihatannya," jelas Encik Khairy di sebuah sidang media pada Rabu (21 Sep).

Jelas Encik Khairy lanjut, apa yang dilalui Encik Najib adalah prosedur biasa iaitu setiap banduan akan dihantar balik ke penjara sebaik sahaja menerima pelepasan doktor, lapor Astro AWANI.

Kementerian Kesihatan juga, kata Encik Khairy, menjalankan tugas secara profesional mengikut prosedur dan garis panduan.

“Kita buat ini supaya tidak timbul pertikaian daripada keluarga Encik Najib atau Encik Najib sendiri bahawa tiada rawatan (perubatan) diberikan, jadi kita selesaikan semua pemeriksaan yang telah diminta.

"Sebaik sahaja doktor, berdasarkan pertimbangan profesional mereka, kata dia (Najib) boleh dikeluarkan dari hospital, dia akan dihantar balik ke Kajang.

"Saya tidak boleh jawab bila. Saya tidak tanya pun dengan KP (Ketua Pengarah Kesihatan)," katanya.

Encik Khairy menambah beliau juga dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, bahawa pakar sedang menyediakan rekod perubatan untuk memberi penjelasan keadaan Encik Najib kepada keluarganya.

Awal dari itu, tular di aplikasi WhatsApp khabar angin yang mendakwa Encik Najib, yang diberi nama kod rahsia, akan dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras (CRH) bagi membolehkan lebih banyak akses kepada pengunjung dan kemudahan VVIP.

Jabatan Penjara sudah mengeluarkan dua kenyataan menafikan perkara itu dan Encik Najib tidak diberikan sebarang layanan istimewa.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita