Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Khairuddin Aman Razali umum keluar PAS; isytihar diri AP Bebas

Anggaran Waktu Membaca:
Khairuddin Aman Razali umum keluar PAS; isytihar diri AP Bebas

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali mengumumkan permohonan berhenti daripada menjadi ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Menurutnya, surat sudah dikemukakan kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengikut perlembagaan PAS, lapor Malaysiakini.

"Merujuk perlembagaan PAS, fasal 15 (1) (a) pemberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

"Maka dengan ini saya Mohd Khairuddin Aman Razali pemegang nombor keahlian PAS 313899 memohon untuk berhenti daripada menjadi ahli PAS," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini (14 Mac).

Ditanya apakah alasannya untuk meninggalkan parti, Khairuddin bagaimanapun berkata perkara itu sukar untuk dijawab.

"Alasan berhenti daripada PAS sukar untuk dijawab.

“Saya sayangkan PAS. Saya 'kekal PAS' insya-Allah tetapi bukan sebagai ahli organisasi kekal, tetapi kekal dengan matlamat perjuangan dasar dan tujuan insya-Allah.

"Sementara itu bebas, Ahli Parlimen bebas. Agak berat untuk saya memohon berhenti tetapi itu peruntukan perlembagaan yang ada, memohon berhenti dengan sendiri," katanya seperti dinukil oleh Malaysiakini.

Sebagai rekod Khairuddin sejak kebelakangan ini tampil mengkritik pendekatan PAS termasuk langkah pemimpin yang menyerang UMNO ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dia juga sebelum ini digugurkan daripada anggota Jawatankuasa (AJK) PAS.

Jawatankuasa Pusat PAS juga menarik balik pencalonannya sebagai anggota Majlis Syura, menyebabkan kelayakannya sebagai setiausaha badan itu terbatal.

Sementara itu Khairuddin berkata, dia mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS atas peluang menjadi ahli sejak 1989 ketika berumur 16 tahun, iaitu selama 33 tahun.

Katanya lagi, dia menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan parti tersebut sejak tahun 1999, menurut Malaysiakini.

"Daripada AJK dan ketua Pemuda PAS kawasan hingga Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama dengan jawatan tertinggi dan terakhir sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana memberi peluang kepada saya menjadi calon dalam pilihan raya sebanyak dua kali seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus sejak tahun 2013 dan berpeluang menimba pengalaman sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti," katanya.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan