Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

KFC China kini tawarkan kaki ayam dek inflasi

Anggaran Waktu Membaca:

SHANGHAI: Sudah bertahun-tahun lama pelanggan KFC di China ingin tahu sebab rangkaian restoran makanan segera itu tidak menjual kaki ayam, yang dianggap sebagai makanan digemari di negara tersebut. 

"Kini saya boleh melaporkan bahawa pada tahun ini, 2022, kami akhirnya menjual kaki ayam," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yum China Joey Wat kepada CNN Business dalam temu bualnya pada Isnin (1 Ogos). 

Sebab perubahan itu adalah sesuatu yang tidak  pernah dijangkakan pelanggan: harga minyak yang tinggi. 

Cik Wat berkata tambahan sajian ke menu itu adalah sebahagian usaha rangkaian restoran itu untuk mempertingkatkan kecekapan dan tidak membazirkan bahan yang ada.

Harga minyak dan makanan yang melambung tinggi kebelakangan ini meningkatkan kos perniagaan dengan ketara. 

"Kami cuba menyerap peningkatan harga komoditi, dengan menggunakan semua bahagian ayam," kata Cik Wat. 

"Ini bermakna kami akan menggunakan setiap bahagian ayam, kecuali bulunya," tambahnya sambil tergelak. 

Yum China sedang pulih daripada apa yang disifatkan Cik Wat sebagai suku paling sukar. Syarikat berpangkalan di Shanghai itu memiliki rangkaian KFC, Pizza Hut dan Taco Bell di China, di mana perintah berkurung COVID-19 menjejas jutaan penduduk, mengurung mereka di rumah selama beberapa minggu. 

Antara April hingga Jun,  penjualan di lokasi yang sudah dibuka selama sekurang-kurangnya setahun jatuh 16 peratus, kata Yun China, berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Meskipun "suku kedua itu yang paling sukar sejauh ini," Cik Wat berkata, kekurangan pelanggan itu diimbangi permintaan penghantaran makanan yang lebih kukuh, naik sekitar lapan peratus bagi KFC dan Pizza Hut berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Namun, syarikat itu perlu membuat penyesuaian. Sepanjang suku kedua, ia menggantung usaha pemasaran dan pengiklanan, meminta tuan tanah untuk mengurangkan sewa dan menggesa restoran-restorannya untuk menggunakan sebanyak sumber yang sudah sedia ada. 

Meskipun berdepan pelbagai kesukaran, Cik Wat berikrar untuk elak memecat pekerja tahun ini. 

"Kami akan melihat semua peluang untuk mengurangkan kos, kecuali memecat pekerja," katanya. 

"Kami mempunyai 450,000 kakitangan, dan perlu menjaga 450,000 keluarga ."

Cik Wat berkata beliau tekad untuk memastikan terdapat "jaringan keselamatan" bagi kakitangannya, sambil menambah bahawa syarikat itu tidak akan mengurangkan usaha membuka lebih banyak cawangan.  

Awal tahun ini, Yum China menetapkan sasaran untuk membuka 1,000 hingga 1,200 cawangan baru sepanjang 2022, dan ia kekal komited kepada rancangan tersebut, katanya.  

Tidak seperti rangkaian restoran lain, syarikat itu juga tidak meningkatkan harga makanan. Sebaliknya, ia membuat keputusan untuk mengikut haluan lain: cuba memikat lebih ramai pelanggan dengan jualan lebih baik. 

Misalnya, di Pizza Hut, bufetnya kembali beroperasi dan terdapat promosi yang menawarkan potongan harga bagi pesanan lebih besar. 

"Nilai pada harga adalah sesuatu yang diinginkan pelanggan dalam situasi sekarang ini," kata Cik Wat kepada penyelidik pada Jumaat (5 Ogos). 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan