Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketua WHO balas kritikan Trump selepas Amerika tarik diri

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua WHO balas kritikan Trump selepas Amerika tarik diri

Ketua pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus. (Gambar fail: Fabrice COFFRINI / AFP)

Diterbitkan : 03 Feb 2025 11:22PM Dikemas Kini : 03 Feb 2025 11:23PM
GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkritik alasan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menarik keluar Amerika daripada WHO dan menggesa Washington untuk mempertimbangkan semula.

Amerika merupakan penderma terbesar WHO dan langkah untuk menarik diri akan meninggalkan kekosongan dalam belanjawan pertubuhan dan keupayaannya untuk bertindak balas terhadap ancaman kesihatan awam global.

Ketua pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus telah meneliti alasan yang diberikan oleh perintah eksekutif Encik Trump untuk menarik diri daripada organisasi itu, ditandatangani dalam beberapa jam selepas Encik Trump kembali ke pejabat pada 20 Januari, dan menggariskan perkara yang dilakukan oleh agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam setiap bidang.

"Kami kesal dengan keputusan itu dan kami berharap Amerika akan mempertimbangkan semula," kata Encik Tedros semasa pembukaan mesyuarat lembaga eksekutif WHO.

Sepanjang tujuh tahun lalu, WHO telah melaksanakan "pembaharuan yang paling mendalam dan meluas dalam sejarah pertubuhan", katanya.

Menangani dakwaan Encik Trump bahawa WHO "menuntut bayaran yang tidak adil daripada Amerika", Encik Tedros menegaskan bahawa pertubuhan itu telah berusaha untuk meluaskan pangkalan pendermanya.

Ketua WHO itu berkata mengalihkan baki daripada sumbangan sukarela, yang membentuk sebahagian besar pendapatan WHO, kepada yuran keahlian biasa akan menangani "kebergantungan berlebihan" kepada penderma utama.

Sebagai tindak balas kepada pertuduhan salah pengendalian pandemik Covid-19, Encik Tedros menegaskan tindakan pantas WHO sejak dari awal wabak di China, termasuk memberi amaran, menerbitkan panduan, dan melindungi penduduk.

Walaupun terdapat cabaran dan kelemahan, WHO telah mengambil langkah menangani isu tersebut, termasuk mewujudkan Dana Pandemik, Hab Pemindahan Teknologi mRNA, dan perjanjian pandemik baharu yang sedang dirundingkan.

Akhirnya, perintah Trump mendakwa WHO mempunyai "ketidakupayaan untuk menunjukkan kemerdekaan daripada pengaruh politik yang tidak sesuai negara anggota WHO".

Encik Tedros berkata pertubuhan itu tidak berat sebelah dan cuba berkhidmat untuk semua negara, tetapi apabila mereka membuat tuntutan terhadap agensi itu yang "tidak disokong oleh bukti saintifik... kami berkata tidak, dengan sopan".
Sumber : AFP/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan