Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ketua, timbalan ketua ibu kota baharu Indonesia letak jawatan

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Ketua dan timbalan ketua Nusantara, ibu kota baharu Indonesia, yang bertanggungjawab menyelia projek AS$32 bilion (S$43 bilion) itu, telah meletak jawatan.

Pengumuman tersebut dibuat menteri sekretariat negara itu pada Isnin (3 Jun).

Peletakan jawatan itu dibuat menjelang rancangan Presiden Joko Widodo untuk menyambut Hari Kemerdekaan Indonesia di Nusantara, pada 17 Ogos.

"Presiden telah melantik menteri kerja dan perumahan awam dan timbalan menteri pertanian itu sebagai pemangku ketua dan timbalan ketua," jelas Menteri Setiausaha Negara Pratikno dalam pengumuman mengejut dari istana negara pada Isnin.

Dua pegawai terbabit telah ditugaskan untuk mempercepatkan kerja-kerja binaan ibu kota baharu itu, katanya. Tiada sebab bagaimanapun diberikan atas peletakan jawatan itu.

Sementara itu, mantan pegawai di Bank Pembangunan Asia, Bambang Susantono, yang memimpin projek ibu kota itu, tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas perkembangan tersebut.

Selain itu, Dhony Rahajoe, seorang arkitek Indonesia dan bekas pemaju hartanah yang merupakan timbalan ketua Nusantara, juga tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk mengulas.

Peletakan jawatan dua pegawai tersebut berlaku di tengah-tengah khabar mengenai kekurangan dana swasta bagi pembinaan ibu kota baharu tersebut di kawasan terpencil dan berhutan Kalimantan, pulau Borneo.

Pemerintah Indonesia sedang mengejar masa untuk menyiapkan pembinaan infrastuktur tersebut, agar dapat memindahkan kumpulan pertama 12,000 kakitangan awam menjelang September ini. Rancangan tersebut bagaimanapun telah ditangguhkan sebanyak dua kali sebelum ini, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai projek utama Presiden Jokowi.

Nusantara, dianggap sebagai legasi utama beliau, yang bakal melepaskan jawatannya pada Oktober ini selepas berkhidmat selama dua penggal.

Encik Jokowi merancang untuk melawat Nusantara pada Selasa untuk melancarkan beberapa projek di kawasan itu, termasuk sekolah.
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan