Skip to main content

Dunia

Ketua SPRM sahkan disaman mantan Menteri Kewangan Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua SPRM sahkan disaman mantan Menteri Kewangan Malaysia

Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki. (Gambar fail: Bernama)

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mengesahkan menerima saman yang difailkan mantan Menteri Kewangan, Daim Zainuddin terhadapnya.

Encik Azam berkata, surat tuntutan saman oleh Encik Daim itu menyatakan mengenai tindakan SPRM yang didakwa tidak mengikut prosedur ditetapkan.

"Saya tak boleh dedahkan maklumat berkaitan kerana kes itu sudah masuk mahkamah," katanya memetik laporan berita tempatan pada Jumaat (16 Feb), lapor agensi berita Sinar Harian.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu pada sesi dialog 'Integriti: Sejauh Mana Ketelusan Dinilai?' yang disiarkan stesen televisyen milik kerajaan Sarawak pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk menyiasat lebih banyak kes berprofil tinggi termasuk kes lama sekiranya terdapat pihak yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan.

"Betul... saya mungkin hidup pada waktu itu tetapi saya tak berada dalam sistem ketika itu. (Jadi sekarang) tindakan perlu diambil kerana ia tanggungjawab saya.

"Kadang-kadang kami tak ada akses kepada sesetengah maklumat kerana kejadian itu berlaku sudah lama. Kami generasi baharu mungkin tak tahu," katanya, dipetik daripada Sinar Harian.

Sebelum ini, media melaporkan pasukan undang-undang mewakili Encik Daim mendakwa Encik Azam tidak mengendahkan arahan kehakiman dengan mengeluarkan kenyataan secara berterusan membabitkan kes dihadapi mantan Menteri Kewangan itu dan isu perundangan yang sedang dihadapi.

Jelas laporan itu, kenyataan berulang Encik Azam mengenai Encik Daim bukan sahaja subjudis tetapi juga prejudis kerana hakim sudah memberi amaran mengenai kes itu.

Peguam itu berkata, kenyataan Encik Azam termasuklah kemungkinan memanggil Encik Daim untuk disoal siasat berhubung dakwaan aset yang tidak didedahkan, dianggap tidak wajar memandangkan pertuduhan sedia ada yang belum selesai di mahkamah.

Menurutnya, kenyataan itu seolah-olah Encik Daim bersalah dan melanggar prinsip subjudis malah petikan 'sumber' memburukkan lagi keadaan.

Baru-baru ini, Encik Daim menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa gagal mengisytiharkan harta dan mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita