Skip to main content

Dunia

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan sangkal dakwaan PKR berdepan amalan politik wang

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berdepan risiko amalan politik wang bagi menarik sokongan khususnya pada pemilihan sesi 2025-2028.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan sangkal dakwaan PKR berdepan amalan politik wang

Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar: Bernama)

GEORGE TOWN: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berdepan risiko amalan politik wang bagi menarik sokongan khususnya pada pemilihan sesi 2025-2028.

Encik Saifuddin Nasution yang juga merupakan mantan Setiausaha Agung PKR berkata Lembaga Disiplin parti tidak menerima sebarang aduan mengenai tindakan politik wang setakat ini seperti yang didakwa.

“Politik wang dalam takrif beri duit untuk mendapatkan sokongan ini, saya tidak fikir PKR berada pada tahap itu.

“Tetapi, kalau menggunakan wang untuk mengadakan program, jamuan, sewa khemah, bayar bil hotel itu memang adalah,” katanya di sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota Lama pada Sabtu (17 Mei), yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Encik Saifuddin Nasution mengatakan bahawa PKR kini mempunyai keupayaan logistik serta dana untuk mengadakan program atau majlis berbanding zaman awal penubuhan parti pada 1990-an dengan majlis termasuk kongres parti telah diadakan di warung, rumah dan sekolah Cina akibat kekurangan dana.

Namun, Menteri Dalam Negeri itu tidak bersetuju dengan perbelanjaan terlalu tinggi sehingga kelihatan mewah kerana rakyat sensitif terhadap kemewahan yang ditonjolkan, selain menggesa ahli parti membuat laporan kepada Lembaga Disiplin jika mempunyai bukti mengenai amalan politik wang seperti yang didakwa.

“Parti ini tidak (dan) bukan dibina melalui kekuatan dana, (tetapi) kita bina dengan menyuntik idealisme kepada rakyat untuk terima parti ini seadanya. Peraturan dalam lembaga parti sangat jelas. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh,” kata beliau.

Semalam, media melaporkan Timbalan Presiden parti Rafizi Ramli mengakui PKR berdepan risiko amalan politik wang yang dianggap antara bentuk rasuah paling sukar untuk dibuktikan.

Mengulas mengenai pertandingan antara Cik Nurul Izzah Anwar dengan Encik Rafizi, yang juga Menteri Ekonomi, bagi jawatan Timbalan Presiden, Encik Saifuddin Nasution berkata kedua-dua calon berkenaan mempunyai sumbangan besar kepada PKR, justeru menasihati 29,000 perwakilan untuk menggunakan kayu pengukur bagi memilih calon pilihan mereka.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 24 Mei di Johor Bahru dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei. 
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita