Skip to main content

Dunia

Ketua robotik OpenAI letak jawatan susuli perjanjian dengan Pentagon

Caitlin Kalinowski, ketua robotik dan hadwe pengguna di OpenAI, mengumumkan peletakan jawatannya pada Sabtu (7 Mac), sambil menyatakan kebimbangan beliau terhadap perjanjian syarikat tersebut dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
Anggaran Waktu Membaca:
Ketua robotik OpenAI letak jawatan susuli perjanjian dengan Pentagon
Logo OpenAI dilihat dalam ilustrasi yang diambil pada 20 Mei 2024. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)
Diterbitkan : 08 Mar 2026 07:34AM
  • Caitlin Kalinowski, ketua robotik OpenAI, meletak jawatan pada 7 Mac kerana kebimbangan terhadap perjanjian syarikat dengan Pentagon.
  • Beliau menyatakan OpenAI bersetuju menggunakan AI untuk rangkaian cloud Pentagon tanpa garis panduan perlindungan yang jelas.
  • OpenAI menegaskan teknologi mereka tidak akan digunakan untuk pemantauan domestik atau senjata autonomi, dan akan terus berbincang dengan pelbagai pihak.
  • Kalinowski menekankan isu tadbir urus dan pentingnya pertimbangan mendalam sebelum membuat keputusan besar berkaitan AI.
Dijana oleh AI
AMERIKA SYARIKAT: Caitlin Kalinowski, ketua robotik dan hadwe pengguna di OpenAI, mengumumkan peletakan jawatannya pada Sabtu (7 Mac), sambil menyatakan kebimbangan beliau terhadap perjanjian syarikat tersebut dengan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.

Dalam satu catatan media sosial di platform X, Cik Kalinowski menulis bahawa OpenAI tidak mengambil masa yang mencukupi sebelum bersetuju untuk menggunakan model kecerdasan buatannya (AI) bagi rangkaian cloud sulit Pentagon.

“AI mempunyai peranan yang penting dalam keselamatan negara,” tulis Cik Kalinowski. “Namun pemantauan terhadap rakyat Amerika tanpa pengawasan kehakiman serta autonomi maut (lethal autonomy) tanpa kebenaran manusia adalah batasan yang sepatutnya diberi pertimbangan lebih mendalam.”

Reuters tidak dapat menghubungi Cik Kalinowski untuk mendapatkan komen segera, namun beliau menulis di X bahawa walaupun beliau mempunyai “rasa hormat yang mendalam” terhadap Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI Sam Altman dan pasukannya, syarikat itu mengumumkan perjanjian dengan Pentagon “tanpa garis panduan perlindungan yang ditetapkan terlebih dahulu”, menurut catatannya.

“Ia pertama sekali merupakan satu isu tadbir urus,” tulis Cik Kalinowski dalam satu lagi catatan di X. “Perkara seperti ini terlalu penting untuk perjanjian atau pengumuman dibuat secara tergesa-gesa.”

OpenAI menyatakan sehari selepas perjanjian itu dimeterai bahawa ia merangkumi langkah-langkah perlindungan tambahan bagi mengawal cara teknologinya digunakan. Pada Sabtu, syarikat itu sekali lagi menegaskan bahawa “garis merah” yang ditetapkan tidak membenarkan teknologinya digunakan bagi pemantauan domestik atau senjata autonomi.

“Kami menyedari bahawa orang ramai mempunyai pandangan yang kuat mengenai isu ini dan kami akan terus melibatkan diri dalam perbincangan dengan para pekerja, pemerintah, masyarakat sivil dan komuniti di seluruh dunia,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan kepada Reuters.

Cik Kalinowski menyertai OpenAI pada 2024 selepas mengetuai pembangunan hadwe realiti terimbuh di Meta Platforms.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita