Skip to main content

Dunia

Ketua Polis M'sia arah semak segera garis panduan aktiviti riadah

Anggaran Waktu Membaca:
HULU SELANGOR: Pihak berkaitan diarah agar segera menyemak semula garis panduan aktiviti riadah di lokasi berisiko, termasuk di kawasan cerun dan berhampiran sungai.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah-langkah sewajarnya perlu dijalankan bagi mengekang kejadian seperti tanah runtuh di Batang Kali berulang.

"Dari segi penambahbaikan, ini saya serahkan pada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan berkaitan untuk membuat semakan semula," katanya pada sidang media di lokasi tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, pada Ahad (25 Dis), lapor agensi berita Astro Awani.

Hadir sama adalah Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamad; Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail; Panglima 11 Briged, Brigedier Jeneral Fazal Abdul Rahman.

Sementara itu, ditanya mengenai penutupan Jalan Batang Kali-Genting, beliau berkata perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PBT.

“Yang itu akan dirujuk kepada JKR dan PBT untuk memutuskan perkata tersebut."

“Mereka mungkin perlu membuat kajian berkaitan aspek keselamatan sebelum keputusan dibuat. Kita akan tunggu keputusan akan datang,” ujarnya lagi, lapor agensi berita Astro Awani.

Terdahulu, Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup akibat bencana tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor akan diperbesarkan dan dibuka semula pada awal atau pertengahan bulan hadapan.
Menurut laporan agensi berita Astro Awani, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara tersebut ialah hasil perjumpaannya dengan pihak JKR.

Beliau berkata, pembukaan jalan tersebut dijangka mampu membantu seramai 4,000 hingga 5,000 penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor, bagi berulang-alik terutamanya bagi mereka yang bekerja di Genting Highlands, Pahang.

Terdahulu, mayat terakhir mangsa kejadian tanah runtuh ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sektor A (Hill View) pada jam 4.53 petang di dalam beg tidur.
Berdasarkan maklumat, 19 daripada 30 mayat mangsa sebelum ini ditemukan di Sektor A (Hillview), manakala 10 di Sektor C (Riverside) dan seorang di Sektor B (Farmview).
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita